Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) Indonesia mempelawa negara sahabat untuk menjadi pemerhati pada Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024 menerusi Program Lawatan Pilihan Raya Indonesia (IEVP), lapor Agensi Berita Antara.
Bercakap di pejabat KPU di Jakarta pada Isnin, Pengerusi KPU Hasyim Asy'ari berkata program itu memberi peluang kepada pelbagai pihak untuk mengikuti perkembangan pelaksanaan Pemilu di Indonesia.
"Dalam pilihan raya umum ini, pengundian dan pengiraan undi dibuat di pusat mengundi. Hasil persetujuan, KPU mempelawa negara sahabat melalui wakil di kedutaan mereka di sini," katanya.
Menurut Asy'ari, amalan demokrasi pilihan raya Indonesia paling rumit di dunia kerana sistem senarai pilihan raya yang terbuka.
Dia berkata keunikan itu berdasarkan jumlah kawasan pilihan raya yang mencecah sebanyak 2,749 kawasan dengan pengundian bagi cabang eksekutif dan legislatif di semua peringkat dijalankan secara serentak.
Memetik analisis pakar dunia serta pemerhati pilihan raya, dia berkata Pemilu di Indonesia merupakan pilihan raya umum terpendek di dunia.
"Apa yang dimaksudkan dengan pilihan raya umum terpendek ialah tempoh mengundi," kata Asy'ari.
Indonesia akan mengadakan Pemilu pada 14 Feb 2024, menyaksikan kira-kira 204.8 juta pengundi dijangka melaksanakan tangungjawab masing-masing.
Tempoh kempen politik bermula pada 28 Nov 2023 dan berakhir pada 10 Feb 2024, diikuti tempoh bertenang dari 11 hingga 13 Feb 2024.
Rakyat Indonesia akan memilih presiden dan naib presiden serta anggota Dewan Perwakilan Rakyat, Dewan Perwakilan Daerah dan Dewan Undangan Wilayah di peringkat wilayah, bandar dan daerah.
-Bernama