malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS mahu wakil negeri dalam MKI, akan bentang RUU persendirian
Diterbitkan:  Feb 13, 2024 3:31 PM
Dikemaskini: 8:17 AM
ADS
  • Dikemas kini dengan berita penuh.


PAS mahu wakil negeri dilantik sebagai anggota Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Parti itu dan gabungannya Perikatan Nasional (PN) juga akan membentangkan rang undang-undang (RUU) persendirian bagi memperkasakan mahkamah syariah, susulan pembatalan 16 peraturan enakmen jenayah syariah Kelantan.

“Keputusan kita adalah, kita akan menyediakan satu memorandum, cadangan dan juga pengesyoran yang akan kita kemukakan untuk pertimbangan MKI, yang dipengerusikan Sultan Selangor berhubung dengan cadangan-cadangan daripada pihak kita. 

“(Ini) termasuklah satu cadangan supaya keahlian atau pun komposisi keahlian MKI untuk membincangkan soal undang-undang syariah ini merangkumi wakil-wakil daripada kerajaan negeri sebagai pihak yang terkesan daripada apa-apa tindakan undang-undang syariah,” kata Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan.

Berkaitan RUU persendirian, Takiyuddin tidak memperincikan lanjut sebaliknya berkata ia akan dibawa oleh anggota parlimen PN bagi meminda perlembagaan.

Pindaan itu, katanya, ke arah memperkasakan undang-undang syariah dan institusi Mahkamah Syariah.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan petisyen peguam dari Kelantan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman untuk mencabar 16 peruntukan penggubalan kesalahan jenayah di Kelantan.

Yasmin Natasha dan ibunya Nik Elin di mahkamah minggu lepas

Hakim Besar Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan bahawa dewan undangan negeri (DUN) Kelantan melangkau bidang kuasa negeri yang terkandung dalam Senarai Negeri (Senarai II) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Bercakap dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini, PAS juga mengumumkan mereka telah mengadakan perbincangan meja bulat berkaitan isu itu yang turut dihadiri oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Nik Mohd Amar Nik Abdullah serta Naib Presiden PAS Idris Ahmad.

Hasil perbincangan meja bulat, Takiyuddin berkata pihaknya turut memutuskan penubuhan jawatankuasa bertindak berkaitan kajian dan dokumentasi undang-undang (dipengerusikan peguam Yusfarizal Yusof), komunikasi strategik (Fadhli Shaari), mobilisasi (Mohd Amar) serta tindakan rentas parti (Idris).

Menurut Takiyuddin, pihaknya juga akan menganjurkan konvensyen pemantapan undang-undang syariah 24 Februari ini yang akan dihoskan oleh kerajaan Negeri Kelantan.

Katanya, ia akan melibatkan wakil jabatan agama negeri-negeri, pengamal undang-undang sivil dan syariah, ilmuan dan pegawai kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen