malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
El Nino: Tanaman, bekalan makanan tempatan tak terjejas - Mat Sabu
Diterbitkan:  Feb 13, 2024 3:27 PM
Dikemaskini: 7:27 AM
ADS

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan keadaan tanaman dan sumber bekalan makanan tempatan tidak terjejas setakat ini biarpun negara sedang berdepan dengan cuaca panas dan fenomena El Nino.

Beliau berkata pemantauan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa, dan pada masa sama meminta petani, nelayan dan penternak mengambil langkah penjagaan kesihatan yang lebih baik terutama ketika bekerja di lapangan.

"Cuaca panas ini akan dihadapi dalam tempoh lama dan golongan itu (petani) perlu mematuhi semua arahan pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Keropok House & Industry Sdn Bhd di Seksyen 27 di Shah Alam hari ini.

Pada masa sama, Mohamad berkata pihak kementeriannya akan menyertai mesyuarat bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pada minggu depan, bagi membincangkan persiapan negara dalam menghadapi fenomena El Nino.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Muhammad Helmi Abdullah memaklumkan El Nino dengan intensiti kuat yang sedang melanda dunia ketika ini dijangka berterusan sehingga pertengahan tahun ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen