Sebuah pesawat ringan terhempas di ladang kelapa sawit di Kapar, Klang awal petang tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, anggota penyelamat dihantar ke tempat kejadian selepas pihak berkuasa menerima panggilan mengenai pesawat terbakar pada 1.56 tengah hari.
Sehingga jam 2.45 petang, anggota penyelamat masih mencari mangsa.
“Susulan panggilan itu, sepasukan anggota bomba dari balai bomba Kapar telah dihantar ke lokasi kejadian di Kampung Tok Muda, Kapar.
“Menurut laporan awal pasukan, mereka mendapati sebuah pesawat terhempas di lokasi berkenaan.
“Pasukan masih mencari mangsa,” kata seorang jurucakap.
Sementara itu, Malaysiakini mendapati kapal terbang yang terlibat merupakan pesawat dengan dua tempat duduk Blackshape Gabriel dan milik Air Adventure Flying Club yang berpangkalan di Subang.
Ketika dihubungi, wakil kelab tersebut mengesahkan pesawatnya terlibat dalam kejadian itu namun enggan mengulas lanjut.
"Kami sibuk sekarang cuba menyelesaikan masalah dan kemudian kami boleh membuat kenyataan," katanya.
Sementara itu, klip video pendek mengenai kejadian itu telah tular di media sosial.
Ia menunjukkan serpihan pesawat bertaburan di sekitar lokasi nahas manakala ekor pesawat bernombor I-POOC dilihat separuh tertimbus di dalam tanah.