malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kanak-kanak maut dihempap runtuhan dinding rumah
Diterbitkan:  Feb 13, 2024 2:41 PM
Dikemaskini: 6:41 AM
ADS

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut selepas dihempap runtuhan dinding rumah yang sedang dalam proses pembinaan di Kampung Padang Lalang, Tawar, dekat Baling semalam.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata ketika kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, Wan Abdul Aziz Wan Mohd Sholehhuddin dan adiknya, Wan Mohd Baihaqi, 4, sedang bermain di belakang dapur sebuah rumah yang dalam proses pembinaan.

"Ibu mangsa yang sedang memasak di dapur beberapa kali memberi amaran dan menasihatkan kedua-dua anaknya agar tidak bermain di kawasan itu namun mereka tidak mengendahkan arahan tersebut.

"Kira-kira jam 10.30 pagi ibu mangsa mendengar bunyi kuat dari tempat anak-anaknya bermain dan mendapati mereka telah ditimpa batu bata dinding… adik mangsa hanya mengalami cedera ringan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata ibu mangsa kemudian meminta bantuan jiran terdekat untuk menghantar kedua-dua anaknya ke Klinik Kesihatan Tawar serta memaklumkan mengenai kejadian itu kepada suaminya yang ketika itu berada di tempat kerja di Kulim.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Tawar dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen