malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pendawaian elektrik dipercayai punca kebakaran di Flat Sri Sabah
Diterbitkan:  Feb 13, 2024 11:26 AM
Dikemaskini: 3:26 AM
ADS

Kebakaran di Tingkat 17, Blok 70 Flat Sri Sabah di Cheras pada malam Ahad lalu dipercayai berpunca daripada masalah pendawaian elektrik, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Muhammad Salleh Abdul.

Katanya hasil siasatan awal mendapati kebakaran bermula di unit nombor tiga.

Bgaimanapun Salleh menafikan dakwaan bahawa kebakaran tersebut berpunca daripada bunga api.

"Siasatan forensik kami mengesahkan kebakaran tersebut dipercayai disebabkan punca elektrik dan ia tertumpu kepada kotak agihan (DB).

"Kami percaya 90 peratus ia adalah punca kebakaran dan 10 peratus lagi sedang disahkan dari segi ujian teknikal bahawa itu adalah punca utama.

"Makna ia bermula di situ dan merebak ke unit-unit lain... ia merebak ke unit kedua dan keenam,” katanya pada sidang media di pusat penempatan sementara Sekolah Kebangsaan Sri Cheras, Kuala Lumpur hari ini.

Dalam kejadian itu, lima unit kediaman di tingkat berkenaan musnah. Tiada sebarang kematian dilaporkan.

Salleh juga berkata dakwaan bahawa pili bomba tidak boleh digunakan adalah tidak benar, sebaliknya dia menjelaskan alat bantu mula (hose reel) di bangunan berkenaan yang tidak berfungsi.

Susulan itu, Salleh berkata pihaknya akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi melakukan pemeriksaan menyeluruh di flat-flat kelolaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebagai tindakan segera bagi mengelakkan isu berkenaan berulang.

"Kami akan buat segera. Kami akan buat siasatan dan cadangan yang perlu untuk pertingkat dan baiki sistem-sistem yang ada di bangunan seperti ini," katanya.

Dia berkata jumlah kerugian masih dalam peringkat siasatan dan akan dimaklumkan kelak.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen