malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ops Selamat: 8 kematian dicatatkan polis Johor
Diterbitkan:  Feb 13, 2024 9:05 AM
Dikemaskini: 1:05 AM
ADS

Sebanyak lapan kematian direkodkan polis di Johor setakat hari keempat Op Selamat 21 semalam, sempena Tahun Baru Cina 2024 yang dilaksanakan di negeri berkenaan.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata jumlah berkenaan berkurangan sebanyak 55.6 peratus berbanding 18 kematian pada tahun lepas.

Katanya jumlah kemalangan bagi tempoh yang sama turut menurun sebanyak 857 kes atau 17.52 peratus berbanding 1,039 kes direkodkan tahun sebelumnya.

"Menerusi operasi ini juga, polis Johor menahan 21 individu berusia antara 18 tahun hingga 53 tahun atas pelbagai kesalahan, termasuk mabuk, samseng jalanan, ulat parking haram dan tangkapan kes urin," katanya.

Kumar berkata demikian pada program menyantuni petugas Ops Selamat 21 di persimpangan Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru malam tadi.

Jumlah saman trafik bagaimanapun katanya meningkat kepada 20,664 tahun ini berbanding 9,021 pada tahun lepas.

Justeru Kumar menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan berhemah ketika memandu serta mengikuti jadual cadangan perjalanan yang dikeluarkan pengendali lebuh raya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen