Impian 33 pekerja asing dari India bekerja di Malaysia tidak kesampaian selepas pihak yang didakwa sebagai majikan mereka tidak muncul untuk mengambil mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Lebih mengecewakan lagi, ini kedua dalam tempoh sebulan majikan tersebut didakwa tidak muncul untuk menjemput pekerjanya.
"Kali pertama sebahagian kami datang ke Malaysia pada 14 Jan. Kami diberitahu oleh ejen pekerja dari India, sebuah pengilang perabot (knock down furniture).
"Tapi, setelah kami turun di KLIA, pegawai imigresen beritahu kami terpaksa dihantar pulang kerana majikan tidak datang untuk mengambil," kata seorang individu warga India yang hanya mahu dikenali sebagai Kumaresan yang kini berada di KLIA.

Katanya, mereka pulang pada keesokan hari (15 Jan) dengan membeli tiket menggunakan duit sendiri.
Menurut Kumaresan, kemudian ejen dari India telah menghubungi mereka dan memberitahu bahawa majikan kini sedia ambil semula untuk bekerja di Malaysia.
"Semalam, kami seramai 33 datang ke KLIA dan dikejutkan apabila sekali lagi majikan tidak datang.
"Ini tidak adil kepada kami dan majikan perlu dihukum dan menanggung kos yang kami belanja untuk datang dan dihantar pulang.
Bukan pekerja kami
"Kalau boleh kami tak nak pulang, kami datang ke Malaysia secara sah dan kami nak bekerja di sini. Kami dah belanja banyak untuk bekerja di Malaysia," katanya.
Ketika dihubungi, seorang wakil syarikat itu yang enggan dinamakan berkata pihaknya tidak memohon pengambilan pekerja berkenaan.
"Sebenarnya, akaun FWCMS syarikat kami telah digodam sebanyak dua kali oleh pihak yang tidak dapat dikesan.

"Kami telah membuat laporan di Kementerian Sumber Manusia (KSM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan polis.
"Kami tak mohon untuk membawa mana-mana pekerja," kata pengurus bahagian sumber manusia syarikat itu yang berpangkalan Senai, Johor.
Menurut pengurus itu lagi, pada 1 Jan 2024 pihaknya mendapati VDR (Visa Dengan Rujukan) syarikat tersebut telah digodam membawa masuk 77 pekerja asing dari India.
"Kami juga mendapati terdapat penambahan satu nama asing sebagai wakil syarikat dalam sistem E-PLKS syarikat.

"Pihak syarikat segera membuat aduan dengan Jabatan Imigresen Malaysia Johor Bahru pada hari yang sama. Laporan polis juga telah dibuat pada hari yang sama," katanya.
Wakil syarikat itu juga berkata kes kedua berlaku pada 14 Jan 2024 lalu apabila didapati 33 pekerja asing India tiba lagi di KLIA dengan menggunakan VDR syarikat tersebut.
Katanya, dia telah segera membuat laporan polis pada hari yang sama di KLIA.
"Seterusnya, pada 1 Feb kami mendapati terdapat 31 permit pekerja asing India telah dicetak. Kami mengetahuinya melalui semakan daripada sistem eservices.imi.gov.my.
"Perkara ini amat mengecewakan kerana telah banyak usaha kami lakukan agar pihak tersebut tidak boleh meneruskan langkah seterusnya. Ini merupakan penggodaman kali kedua," katanya.
Tiada masalah teknikal - Bestinet
Dia berkata semenjak 28 Disember 23, syarikat itu telah membuat banyak aduan dan laporan kepada pihak polis, FWCMS Putrajaya, Jabatan Imigresen Johor Bahru, Imigresen KLIA, Imigresen Putrajaya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) Putrajaya, Kedutaan India di Malaysia dan juga Konsulat Malaysia di Chennai, India.
Malaysiakini telah menghubungi, JIM dan KSM untuk mendapatkan komen.
Sementara itu, pengendali sistem FWCMS, Bestinet berkata pihaknya memberi jaminan untuk memberikan kerjasama penuh sekiranya diperlukan menyelesaikan isu tersebut.
Ketika dihubungi Ketua Pegawai Eksekutif Ismail Mohd Noor berkata Bestinet kesal dengan tindakan pihak yang mengambil kesempatan serta melanggar undang-undang seterusnya mendatangkan masalah kepada pihak berkuasa serta pekerja-pekerja asing.
“Bestinet mengesahkan bahawa tiada sebarang masalah teknikal dalam Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang dikenal pasti,” katanya.
Menurutnya, selepas kes yang pertama pada bulan Januari, Bestinet telah memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa berhubung isu penyalahgunaan nama syarikat berkenaan dalam pengambilan pekerja asing serta menyerahkan rekod sistem FWCMS, MyImms dan senarai nombor kelulusan visa kepada pihak polis.
“Dapatan pihak kami menunjukkan terdapat penambahan individu sebagai wakil syarikat dalam sistem MyIMMS yang meragukan.
“FWCMS tidak dibenarkan untuk menambah wakil syarikat secara terus di sistem.
“Penambahan wakil syarikat hanya di benarkan di sistem MyIMMS dan FWCMS hanya menggunakan maklumat itu setelah dimuat turun,” katanya.
Tambahnya, Bestinet juga telah menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan lanjut terhadap individu yang menjadi penama tambahan seterusnya mengenal pasti sebarang pelanggaran undang-undang yang mungkin berlaku dalam isu ini.

