malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Culik lelaki Palestin: Permohonan ikat jamin 13 individu ditolak
Diterbitkan:  Feb 2, 2024 2:56 PM
Dikemaskini: 6:56 AM
ADS

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan 13 individu termasuk seorang wanita untuk dilepaskan dengan jaminan atas pertuduhan menculik seorang lelaki Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian untuk menggodam telefon bimbit.

Hakim Siti Aminah Ghazali mengarahkan mereka direman sehingga perbicaraan selesai dan menetapkan 28 Feb untuk sebutan semula kes.

Mereka ialah Edy Ko’im Said, 42; Mohamad Norakmal Hassan, 43; Dody Junaidi, 44; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 41; Mohamad Naziree Mustapha, 41; Faizull Hardey Mohd Isa, 42; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 27; Mohamad Sufian Saly, 25; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 23; Nidarahayu Zainal, 36; dan Raibafie Amdan, 41; Mohd Zaidi Mohd Zain, 56; dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 51.

Pada Okt 2022, mereka didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan secara niat bersama menahan Omar ZM Albelbaisy Raeda, 31, untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyah aktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang, Kuala Lumpur pada 10.40 malam 28 Sept 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun hingga maksimum 40 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh dan kes itu kemudian dipindahkan ke mahkamah tinggi kerana kes culik di bawah bidang kuasa mahkamah berkenaan.

Semasa prosiding kes di mahkamah tinggi, pihak pembelaan memohon supaya kes itu dibicarakan di mahkamah sesyen, dan pada 6 Dis lalu mahkamah membenarkan permohonan tersebut.

Pertuduhan terhadap kesemua mereka dibacakan semula di mahkamah sesyen pada 19 Jan lalu. Semua mereka yang mengaku tidak bersalah membuat permohonan untuk dilepaskan dengan jaminan.

Kes itu dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Kalmizah Salleh, manakala peguam Kelvin Sidhu mewakili Edy Ko’im.

Mohamad Norakmal, Dody, Tengku Arif Bongsu, Mohamad Naziree, Faizull Hardey, Muhammad Iqmal, Mohamad Sufian, Mohd Zaidi dan Tengku Hazarul Ismail pula diwakili peguam Norma Go.

Nidarahayu pula diwakili peguam Muhammad Amin Abdullah, manakala Raibafie diwakili peguam Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen