malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pencen: Kabinet akan bincang dulu sebelum ke parlimen
Diterbitkan:  Feb 1, 2024 9:20 PM
Dikemaskini: 1:20 PM
ADS

Perdana Menteri berkata cadangan pemansuhan pencen bagi ahli politik akan dibincang di peringkat kabinet terlebih dahulu dan dibawa ke parlimen sebelum sebarang keputusan dilaksana.

Anwar Ibrahim berkata sebagai satu tanggungjawab moral, isu pemansuhan pencen perlu dibentang dan dijelaskan sepenuhnya berikutan ia sukar untuk dirasionalkan ia dikecualikan kepada orang politik.

“Ada orang tanya bagaimana pula orang politik, sistem berbeza... tapi saya fikir munasabah kalau kita kaji, kaji sekali.

"Kalau penjawat awam tak ada (pencen), orang politik pun (patut) tak ada, tapi ia tertakluk kepada kelulusan di parlimen.

"Kalau jadi dan kabinet bersetuju, saya (akan) bentangkan (di Parlimen),

“Kalau ada kebetulan ahli parlimen nak tolak, itu dia tolaklah.

"Saya bentangkan sebab dari segi tanggungjawab moral, bagaimana boleh kita bentangkan kepada awam dengan alasan kukuh dari segi ekonomi tetapi diberikan pengecualian kepada orang politik, sukar saya mahu rasionalkan.

"Saya belum bentang kepada ahli-ahli parlimen untuk perbincangan awal, tetapi kalau mereka mahu elaun khas lain sebagaimana penjawat awam, kita boleh bincang. Tetapi dari segi konsistensi dalam memperkenal dasar, itu kita perlu bersama," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan program Penggerak Madani Negeri Sembilan di Kem Wawasan Negara Ulu Sepri, Rembau hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Anwar juga berkata cadangan memansuhkan sistem pencen penjawat awam sudah disuarakan ketika dia menjadi menteri kewangan pada 1990-an namun ia tidak dilaksanakan.

Katanya isu itu perlu dijelaskan sepenuhnya kepada orang awam termasuk membabitkan aspek implikasi ekonomi sekali gus memastikan penjawat awam tidak berasa mereka dirugikan dengan sistem persaraan baru.

“… tapi saya nak tanya, kalau kita teruskan bagaimana kesannya kepada ekonomi negara? Kita tak mampu teruskan, negara kaya semua dah hentikan skim pencen ini, tidak mampu bertahan.

“Ada yang anggap bagaimana orang yang dapat pencen sekarang? Itu tidak boleh disentuh, ia akan diteruskan.

"Bagaimana penjawat awam baru? Elaunnya tetap sama, tidak terkesan, jadi biar JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) cerakin dan buat pengumuman berikutnya,” kata beliau.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen