malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Empat wanita dikait dengan 'Hot Daddy' didenda miliki video lucah
Diterbitkan:  Jan 31, 2024 6:42 PM
Dikemaskini: 10:42 AM
ADS

Empat daripada enam wanita yang dikaitkan dengan video 'Hot Daddy' dalam aplikasi X masing-masing didenda antara RM2,500 hingga RM4,800 oleh tiga Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini kerana memiliki video lucah dalam telefon bimbit dan peranti milik mereka, semalam.

Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim, Noorelynna Hanim Abd Halim dan Illi Marisqa Khalizan menjatuhi hukuman itu selepas Nurnabilah Ayuni Hanafi, 22, Amira Natasha Mohammad, 26, Nur A’liaa Muhamad Rosly, 22, dan Farah Adila Hanum Khairuddin, 36, mengaku bersalah.

Nurnabilah Ayuni serta Amira Natasha masing-masing didenda RM3,000 manakala Nur A’liaa didenda RM4,800 dan Farah Adila didenda RM2,500.

Mahkamah turut memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara antara sebulan hingga enam bulan jika gagal membayar denda dan kesemua tertuduh membayar denda itu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di Kuala Lumpur pada 5 petang 30 Jan lepas mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mereka diwakili peguam Aisya Rahim, Nicholas Cheoh dan Ernie Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Dua lagi tertuduh iaitu Felecia Lisa Nandong, 21, dan Norfatihah Ramle, 30, yang berdepan pertuduhan sama, minta dibicarakan.

Majistret Nurul Izzah Shaharuddin membenarkan Felicia, yang diwakili peguam Zamier Abu Bakar, diikat jamin RM2,000 dan menetapkan 12 Mac untuk sebutan kes manakala Majistret MS Arunjothy membenarkan Norfatihah, yang diwakili peguam Khairunnisa Azzahrah Ghazalie, diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 26 Mac untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurhafiezah Mohamed Fauzi, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, Zuhairi Osman, Sheryn Yong Shi Yee dan Nor Aisyah Mohamed Zanyuin.

Pada 26 Jan lepas, lelaki yang digelar 'Hot Daddy' iaitu Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli serta dua rakan wanitanya Norshazrina Md Zamri dan Norhidayah Mahadi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan menggunakan aplikasi X.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen