malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Save Rivers: Timbalan menteri, premier bercanggah isu empangan melata
Diterbitkan:  Jan 21, 2024 3:13 PM
Dikemaskini: 7:13 AM
ADS

Komuniti yang membantah cadangan projek empangan melata Sungai Tutoh/Apoh di Baram berkata mereka semakin keliru berikutan kenyataan seorang timbalan menteri bahawa bantahan mereka adalah terlalu awal.

"Timbalan Menteri Gerawat Gala berkata bahawa bantahan adalah terlalu awal kerana projek itu masih dalam peringkat awal dan perundingan belum dilakukan memandangkan kontingensi projek dalam kajian kebolehlaksanaan.

"Ini adalah percanggahan langsung dengan kenyataan terdahulu daripada Premier Sarawak Abang Johari Openg, yang dilaporkan berkata bahawa komuniti yang terjejas telah menulis surat sokongan dan projek itu pada dasarnya telah mendapat kebenaran," kata pengarah urusan Save Rivers Celine Lim (gambar atas).

“Laporan terdahulu dalam The Borneo Post mendakwa rancangan empangan itu datang daripada masyarakat sendiri.

"Sama ada masyarakat membuat rancangan empangan ini dan memintanya seperti yang dikatakan oleh premier, atau tiada rundingan telah berlaku seperti yang dinyatakan oleh timbalan menteri," tambahnya.

Lim (di atas) juga menegaskan bahawa kedua-dua dakwaan bercanggah itu tidak mungkin benar.

“Tidak mungkin kedua-duanya. Kami tidak pernah mendengar mana-mana komuniti yang menyokong rancangan ini. Bagaimanakah permintaan ini dikemukakan? Siapa yang bentangkan kepada premier? Komuniti yang terjejas mempunyai lebih banyak soalan daripada kejelasan mengenai perkara ini,” tambahnya.

Gerawat sebelum ini berkata bahawa mereka yang dilaporkan menentang pembinaan empangan melata (cascading) tidak seharusnya melulu membuat bantahan sebelum bermulanya kajian kebolehlaksanaan dan proses membuat keputusan muktamad.

"Kenyataan Gerawat minggu ini juga memberitahu masyarakat untuk 'bersikap rasional dan bukannya menjadi gelisah dan beremosi terlalu awal'.

“Sebagai komuniti yang terjejas secara langsung, kami boleh menentang projek ini pada mana-mana peringkat. Ini adalah hak yang diberikan kepada kami," kata Sagung Raja dari Ba'Marong, yang merupakan salah seorang masyarakat Penan di sepanjang sungai Tutoh.

“Siapa mereka untuk memberitahu kami bila kami boleh atau tidak boleh menyatakan kebimbangan terhadap projek yang membimbangkan masyarakat kami? Apa mereka jangka tindak balas kami apabila kami mendapat tahu dari media projek itu telah diluluskan?” soalnya.

Save Rivers juga melampirkan surat kepada Abang Johari bertarikh 6 Okt 2023, di mana mereka bertanya tentang status dan prestasi empangan semasa di Sarawak dan mengesahkan data untuk mempamerkan keperluan untuk empangan baru bagi memenuhi permintaan tenaga.

Surat itu juga meminta penyelidikan atau data sedia ada atau akan datang mengenai kepelbagaian biologi buaya, populasi, ancaman haiwan itu terhadap komuniti dan data tentang kekerapan serangan buaya, serta cadangan yang boleh diambil untuk menguruskan secara berkesan dan mampan populasi buaya di sungai Baram.

Ia seterusnya menggesa penjelasan saintifik di sebalik bagaimana turbin baik untuk hidupan sungai seperti ikan, sambil menambah bahawa adalah penting untuk diingat bahawa masyarakat di Baram telah menyatakan tentangan terhadap empangan Baram sejak 2011 apabila kempen diadakan yang menyaksikan penyertaan ribuan orang dan bantahan awam.

“Masyarakat juga tertanya-tanya mengapa kebimbangan mereka diketepikan dalam media, walaupun mereka tidak menerima sebarang maklum balas terhadap pertanyaan berulang yang dibuat melalui saluran rasmi.

"Seperti yang kami nyatakan, kami telah pun menulis surat untuk meminta maklumat lanjut, kerana kami hanya mengetahui mengenai cadangan projek ini melalui akhbar," kata Willie Kajan, yang juga menandatangani surat pertama yang dihantar ke pejabat Abang Johari November lalu.

“Kerana kami tidak mendengar apa-apa lagi, kami buat petisyen untuk menyatakan bahawa kami tidak boleh dan tidak akan memberi persetujuan atau kelulusan kepada mana-mana projek sebelum sebarang libat urus dan perundingan yang bermakna dilakukan.

"Kami buat petisyen ini untuk mendokumenkan sentimen dan kebimbangan kami dan untuk meminta maklumat lanjut," kata Willie.

"Sebanyak mana kita mahu pembangunan, kita juga perlu memahami skop sesuatu projek. Dan walaupun terdapat dakwaan oleh negeri bahawa kesan empangan melata adalah minimum terhadap sosio-persekitaran, bagaimana kita tahu sehingga maklumat itu disampaikan. kepada kami secara langsung?” soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen