Malaysiakini memenangi pingat gangsa Anugerah Putra Aria Brands tahun ini untuk populariti penjenamaannya pada 2023.
Portal berita itu dinamakan sebagai pemenang tempat ketiga bagi kategori Rangkaian Media, sekali gus membawa pulang dengan trofi dan sijil. Pemenang juga dibenarkan menggunakan logo rasmi anugerah itu untuk mengiklankan dirinya sebagai jenama pilihan rakyat.
Ketua Operasi Malaysiakini Tham Seen Hau mewakili portal berita itu untuk menerima anugerah berkenaan semasa majlis makan malam yang diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya awal hari ini.
Menurut pengerusi penganjur Johnny Mun, mereka percaya Malaysiakini dipilih oleh pengguna kerana ia dianggap sebagai platform rakyat.
“Orang ramai suka membaca Malaysiakini atas pelbagai sebab. Saya juga suka membaca Malaysiakini untuk laporan siasatannya.
"Disebabkan itu, ia adalah platform cemerlang untuk kami menjadi sebahagian daripadanya," katanya semasa ditemui pada majlis itu.
Mun berkata terdapat kira-kira 150 anugerah (emas, perak dan gangsa) merentasi 24 kategori, dengan pemenang dipilih oleh lebih 12,000 responden yang menyertai pengundian dalam talian yang dijalankan tahun lepas.
Tinjauan itu dikendalikan oleh firma penyelidikan pasaran global bebas Ipsos.
“Wang tidak boleh membeli anugerah ini, sebab itu ia dipanggil anugerah pilihan rakyat,” katanya lagi.

Sementara itu, Tham berkata Malaysiakini berbesar hati menerima anugerah itu dan mengucapkan tahniah kepada ahli pasukannya atas kerja keras dalam membina jenama yang diiktiraf.
Dia berkata pengguna mengundi Malaysiakini merupakan pengiktirafan terhadap kualiti kewartawanannya.
"Malaysiakini amat berbesar hati kerana kami menerima anugerah ini. Ini sebenarnya berdasarkan undian rakyat, ia benar-benar menunjukkan Malaysiakini adalah jenama yang diiktiraf.
“Ia juga pada asasnya pengiktirafan jenis kewartawanan berkualiti dan kewartawanan yang baik yang kami lakukan.
"Jadi kami sangat berbesar hati dan sangat gembira dengan anugerah ini," katanya.
Tambahnya lagi, Tham berkata tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-25 Malaysiakini, dan mereka merancang untuk terus berusaha sebagai portal berita yang dipercayai dalam negara.
"Kami mencapai apa yang kami ada hari ini kerana pengasas kami, kerana dedikasi dan pengorbanan yang mereka lakukan. Lebih penting, ini adalah hasil kerja kami, pasukan Malaysiakini.
“Jadi untuk sasaran Malaysiakini bergerak ke hadapan, saya rasa adalah untuk kita terus berkembang untuk mengekalkan kedudukan kita sebagai nombor satu, (kerana) kita sudah pun nombor satu dalam pasaran dari segi capaian trafik.
"Kami akan cuba berusaha untuk mengekalkan status itu tetapi yang lebih penting, dari segi kewartawanan yang berkualiti, kami benar-benar mahu menambah baik dan menjadikan Malaysiakini jenama yang lebih dikenali di seluruh dunia," katanya.

Menurut laman web rasminya, Anugerah Putra Aria Brands telah ditubuhkan pada 2022 oleh Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) untuk memberi perkhidmatan yang cekap dan inklusif kepada komuniti pemasaran dengan menonjolkan usaha penjenamaan merentas semua segmen.
Ia adalah satu daripada dua pengiktirafan yang disahkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sebagai Rakan Juara Jenamanya.

