malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Amaran keras Jabatan Perikanan: Jangan curi benih kerang
Diterbitkan:  Jan 16, 2024 3:53 PM
Dikemaskini: 7:53 AM
ADS

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memberi amaran keras kepada pihak yang mengambil benih kerang secara haram, termasuk nelayan dan penternak tidak berlesen.

DOF berkata ia susulan aduan pengusaha lot kerang berdaftar berkenaan peningkatan kegiatan mengambil benih kerang di kawasan tapak benih semula jadi kerang dan tapak kerang kultur.

Ketua Pengarah DOF Adnan Hussain berkata lesen pengambilan benih kerang hanya dikeluarkan melalui notis oleh Pejabat Perikanan Negeri apabila saiz kerang mencecah 4mm ke atas.

“Jabatan Perikanan memberi amaran keras terhadap individu yang didapati terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti mengambil anak/benih kerang secara haram.

"Menjadi satu kesalahan bagi sesiapa yang mengambil benih kerang atau kerang dewasa tanpa lesen yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Larangan mengambil benih kerang di tapak semula jadi mahupun kultur dinyatakan di bawah Seksyen 3 (1) dan Sekyen 4 (1) Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002.

Jika sabit kesalahan, mereka yang melakukan kesalahan itu boleh didenda tidak lebih RM 20,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pihak yang mengambil benih kerang atau kerang dewasa di tapak itu tanpa lesen pula boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Adnan berkata pihaknya sentiasa membuat pemantauan dan rondaan bagi mengekang kes kecurian benih kerang dan penguatkuasaan dijalankan dengan kerjasama agensi-agensi lain.

Menurut DOF, sebanyak empat kes direkodkan pada 2022, melibatkan satu sitaan dan tiga kes tangkapan kerang dengan nilai rampasan sebanyak RM8,500 di Selangor, Perak dan Johor.

Bagi tahun 2023 pula, sebanyak sembilan kes direkodkan dengan enam sitaan dan tiga tangkapan membabitkan nilai rampasan sebanyak RM17,185, melibatkan empat negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka dan Pulau Pinang.

Mengikut data DOF, pendaratan kerang pada 2022 adalah sebanyak 479.47 tan metrik dengan nilai RM 4,472,873.45, manakala pada 2023 sebanyak 856.37 tan metrik dengan nilai sebanyak RM6,811,769.16, melibatkan lapan negeri iaitu Johor, Kedah, Melaka, Perak, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen