PAS menggesa Kerajaan Madani mewujudkan mekanisme subsidi bersasar yang "adil" bagi penjualan minyak masak berpaket kerana menganggap ketika ini ia hanya didominasi oleh warga asing.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin, berkata kerajaan perlu berlaku adil kepada rakyat Malaysia kerana ketiadaan larangan atau kawalan penjualan minyak masak paket kepada warga asing memberi tekanan kepada pengeluarannya.
Kata Khairil Nizam, rakyat mempersoalkan ketiadaan bekalan minyak masak paket bersubsidi di pasaran yang sepatutnya disasarkan kepada golongan B40 dan sebahagian golongan M40 yang terdiri daripada 5.8 juta isi rumah di negara ini.
"Masalah timbul apabila pembelian minyak masak paket bersubsidi ini juga dijual kepada warga asing sama seperti seperti rakyat Malaysia dengan hanya tetapan pembelian di pasar raya besar sebanyak tiga paket maksimum bagi sebuah keluarga.
"Bagaimanapun, situasi sebenar ialah seorang warga asing boleh membeli dua paket dan mereka pula tinggal serumah dengan jumlah bilangan yang ramai.
"Dengan unjuran data jumlah pekerja asing sehingga 30 Sept 2023 berjumlah lebih 2.7 juta orang, sudah tentu ini memberikan satu tekanan kepada bekalan minyak masak bersubsidi tersebut, serta ditambah lagi dengan ketirisan penjualan minyak bersubsidi sememangnya dalam audit pihak kementerian.
"Ia lebih diburukkan lagi dengan situasi ada restoran yang membeli secara pukal dan menyorok minyak masak paket ini sehingga ketiadaaan bekalan sepertimana yang dilaporkan berlaku di beberapa negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata tiada larangan untuk warga asing membeli minyak masak paket bersubsidi secara runcit setakat ini.
Armizan berkata kawalan hanya di peringkat pasar raya dengan had tiga paket untuk setiap pembeli.
Khairil Nizam berkata PAS menggesa kerajaan supaya mewujudkan mekasnime tertentu bagi memastikan agihan subsidi bersasar dapat menguntungkan rakyat.
"PAS menggesa kerajaan mewujudkan satu mekanisme yang adil dan telus agar penggunaan subsidi menjadi lebih bersasar, wajar dan adil serta mengutamakan kebajikan rakyat tempatan untuk menangani kos sara hidup yang tinggi pada ketika ini.
"PAS juga menggesa Kerajaan Madani membentangkan laporan audit kepada parlimen oleh KPDN yang kini sedang mengaudit penjualan bekalan itu bermula daripada peringkat pengilang dan pembungkusan semula bagi mengesan sebarang ketirisan dan penyelewengan terhadap pemberian subsidinya," katanya lagi.

