Pengerusi Wanita MCA Wong You Fong (gambar judul) berkata pihaknya amat bimbang dengan statistik terkini yang menunjukkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak menunjukkan trend yang semakin meningkat saban tahun.
Wong berkata lebih membimbangkan bahawa 80 peratus daripada kes itu dilakukan oleh pelaku yang dikenali oleh mangsa.
"Wanita MCA menyeru semua rakyat di seluruh Malaysia untuk melakukan segala usaha untuk menamatkan jenayah kejam ini dan membantu antara satu sama lain untuk mewujudkan persekitaran yang selamat untuk anak-anak kita.
“Kami menggesa orang ramai supaya lebih berwaspada untuk menggagalkan kejadian yang sama melalui kekuatan bersama masyarakat, tolong-menolong dan bersama-sama menjaga kanak-kanak bawah umur, supaya kejadian keji sedemikian dapat dikurangkan.

"Sayap Wanita MCA juga meminta ibu bapa memberi lebih perhatian kepada orang di sekeliling anak mereka selain mengajar anak mereka tentang langkah asas untuk berjaga-jaga pada seawal usia yang mungkin, seperti sentuhan badan yang tidak boleh diterima," katanya.
Wong juga berkata ibu bapa perlu mempunyai komunikasi dua hala yang terbuka dengan anak-anak mereka supaya mereka berasa selamat untuk menceritakan secara bebas kepada mereka tanpa menghadapi sebarang kesulitan mengenai sebarang pengalaman atau kejadian sentuhan yang tidak selesa daripada orang lain.
Wanita MCA mengulas kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bahawa terdapat 1,570 kes penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan tahun lepas, 110 daripadanya melibatkan kanak-kanak di bawah umur 6 tahun.
Kenyataan itu juga mendedahkan dari 2017 hingga tahun lepas, terdapat 6,990 mangsa penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan di Malaysia, yang kebanyakannya berumur antara 13 dan 15 tahun.

"Data ini mungkin baru sebahagian kecil daripada yang sebenarnya kerana banyak kes tidak dilaporkan.
"Ini memandangkan laporan polis mendedahkan bahawa 80 peratus daripada kes ini dilakukan oleh orang yang dikenali mangsa, keadaan ini menjadi lebih kompleks dalam siasatan oleh polis," kata Wong.
Sementara itu, Wanita MCA memuji langkah proaktif kerajaan, termasuk mengeluarkan garis panduan Kementerian Pendidikan berhubung pelaporan salah laku seksual, serta meningkatkan kesedaran undang-undang dalam kalangan pelajar dan guru.

