malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kerajaan Terengganu beli 10 SUV untuk 'jimat kos selenggara'
Diterbitkan:  Dec 27, 2023 4:35 PM
Dikemaskini: 11:04 AM
ADS

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalal mengesahkan pembelian pembelian 10 kenderaan utiliti sukan (SUV) baru bagi menggantikan kenderaan rasmi kerajaan negeri.

Malah dia dilaporkan berkata, pembelian itu mampu menjimatkan kos penyelenggaraan kenderaan lama dan diluluskan di bawah belanjawan negeri pada tahun lalu.

"Setakat ini, SUV yang dibeli pada Mei lalu belum lagi diagihkan, termasuk kepada ahli majlis kerajaan negeri (Exco).

"Pembelian kenderaan ini tidak perlu dipolitikkan kerana ia diluluskan melalui bajet tahun lalu," katanya seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.

Kenyataan Tengku Farok Hussin sekali gus menjawab persoalan yang timbul berhubung isu yang berbangkit sejak beberapa hari lalu.

Terdahulu, tular sekeping gambar di media sosial yang memaparkan beberapa buah kenderaan SUV didakwa dibeli oleh kerajaan Terengganu.

Perkara itu kemudiannya dibangkitkan bekas ketua penerangan Umno Terengganu, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar yang meminta kerajaan negeri menjelaskan perkara itu.

Menurutnya, pembelian kenderaan rasmi baru itu tidak menyalahi mana-mana peraturan namun ia dilihat janggal dalam keadaan keadaan kewangan negeri yang agak terhad ketika ini.

"Tiada sebarang masalah dari segi tatacara dan peraturan sekiranya pembelian itu ada diperuntukkan dalam Belanjawan 2023 atau dibeli melalui dana Terengganu Inc (atau anak-anak syarikat) dan diluluskan oleh Lembaga Pengarah.

"Cuma yang menjadi isunya, adakah ia satu keperluan mendesak apatah lagi pembayaran dana khas hasil petroleum yang disalurkan dari kerajaan Pusat agak terhad jumlahnya.

"Bagaimana dengan bayaran lain yang perlu dilunaskan oleh kerajaan negeri seperti dalam Belanjawan 2023? Yang mana satu lebih utama, rakyat atau exco?" soalnya dalam satu kenyataan.

Sementara itu Tengku Farok Hussin berkata pembelian kenderaan itu tidak menyalahi mana-mana peraturan, selain diluluskan bersama kenderaan pacuan empat roda Jabatan Perhutanan negeri.

"Tetapi pembelian itu (kenderaan Jabatan Perhutanan) tidak pula dipertikaikan termasuk oleh pemimpin politik. Sudah menjadi kebiasaan kerajaan negeri untuk menyediakan kenderaan baru kepada ketua jabatan termasuk exco kerajaan negeri.

"Ketika kerajaan negeri terdahulu, berlakunya pembelian kenderaan rasmi baru bagi menggantikan kenderaan lama bagi menjimatkan kos penyelenggaraan," katanya dipetik sebagai berkata.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen