Aktivis dari Bersatu hari ini membuat laporan polis atas dakwaan berlaku rasuah melibatkan jutaan ringgit untuk mendapatkan projek tebatan banjir.
Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali dengan nama Chegubard, mendakwa ia menyebabkan kos projek meningkat dengan tinggi.
Dia berkata pada November tahun lalu, kerajaan membatalkan kontrak untuk projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion yang dilaporkan diberi menerusi rundingan terus oleh pentadbiran sebelumnya, dan akan menilainya semula.
Projek itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM15 bilion untuk menangani banjir.
Badrul mendakwa, walaupun penilaian semula dikatakan untuk mengurangkan kos, peruntukan untuk projek tebatan banjir telah meningkat kepada RM16 bilion.
"Kos naik kerana dia (pihak terlibat) kena bayar rasuah," dakwanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Dia mendakwa rasuah diberikan dalam bentuk bayaran rundingan, yang akan disalurkan menerusi firma guaman kepada penerima yang mencurigakan.
Dalam hantaran di media sosial, dia mendakwa antara penerima adalah proksi kepada menteri - dipercayai merujuk kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Dakwanya lagi, salah seorang penerima adalah pemandu yang bekerja di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor, manakala satu legi penerima adalah syarikat kosmetik.
Dia mendakwa pemandu itu turut terlibat dalam sebuah projek hospital.
Sementara itu, satu lagi dokumen yang dipetik Badrul adalah surat daripada Nik Nazmi kepada Anwar Ibrahim yang bocor pada April lalu.
Dia mendakwa surat itu menunjukkan Nik Nazmi meminta Anwar meluluskan tender menerusi rundingan terus.
Bagaimanapun, semakan mendapati tajuk surat itu sendiri menunjukkan ia berkaitan cadangan untuk satu tender terbuka bagi projek tebatan banjir.
Pejabat Nik Nazmi telah membuat laporan polis berkenaan kebocoran surat itu pada Mei lalu.