Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berpandangan pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak perlu lagi dibimbangi dari sisi perkauman.
Pengerusinya Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata ini Kuala Lumpur sendiri hari ini populasinya adalah berbilang kaum dengan Melayu menjadi majoriti.
Menurutnya, dengan trend pertambahan jumlah kelahiran kaum Melayu yang tinggi, kadar peratus Melayu di Kuala Lumpur dijangka mencecah 50 peratus.
“Justeru, melihat kepada perangkaan ini, sudah pasti mana-mana pihak yang berminat meletakkan calon untuk pilihan raya PBT di Kuala Lumpur akan mempertimbang untuk meletakkan calon utama dari kaum Melayu,” katanya.
Faisal juga berkata projek perbandaran yang rancak juga melihat perkembangan yang sama apabila kawasan-kawasan bandar baru banyak diduduki orang Melayu.

Contoh klasik, katanya, adalah projek perbandaran bandar-bandar baru seperti Shah Alam, Bangi dan Putrajaya.
“Namun, kita tidak boleh memandang ringan kekhuatiran yang dibangkitkan oleh mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dia memetik Banci Penduduk 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia di Kuala Lumpur yang mencatatkan penduduk Melayu sejumlah 41.5 peratus, Cina 36.2 peratus, India 8.9 peratus dan lain-lain 1.1 peratus serta (bukan warganegara 12.3 peratus).
Terdahulu isu pelaksanaan pilihan raya PBT menjadi perbahasan selepas Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai menggesa supaya ia diwujudkan di ibu negara, Kuala Lumpur.
Sementara itu Faisal berkata isu pilihan raya PBT akan sering dilihat panas apabila dilihat dari sisi perkauman.
Katanya, ia juga dikaitkan dengan insiden yang dianggap mengganggu kestabilan politik khususnya pada era 1960-an yang membawa kepada pergantungan pilihan raya PBT pada tahun 1965.
Ia kemudian menyaksikan amalan itu dimansuhkan pada tahun 1976 apabila kerajaan menggubal Akta Kerajaan Tempatan.
“Kekhuatiran ini timbul bila mana kawasan bandar sering dikaitkan dengan kawasan yang didominasi secara besar oleh kaum Cina seolah-olah kaum Melayu akan hilang kuasa mentadbir bandar.
“Saya fikir dalam konteks semasa, demografi bandar sudah tidak sama dengan tahun 1960-an memandangkan pada zaman tersebut kita mewarisi barah pecah dan perintah yang ditinggalkan penjajah Inggeris yang sengaja membiarkan kaum Cina berada di Bandar, Melayu di Kampung dan India di ladang getah,” jelasnya.
Justeru tambahnya, kita harus berlapang dada untuk mendengar pandangan dan meredakan kebimbangan itu agar manfaat utama dari pilihan raya PBT dapat dijelmakan.
“Justeru pilihan raya PBT harus dicadangkan untuk dilaksanakan secara berperingkat dengan ada projek perintis (pilot project) supaya kesan dan manfaatnya benar-benar dapat dirasai oleh rakyat.
“Namun, kita harus akui pilihan raya PBT bukan semata-mata jalan penyelesaian kerana isu-isu melingkari penduduk yang terkait hari ini begitu kompleks.
“Ini termasuk dengan senario penduduk yang mempunyai autonomi sendiri dalam menyelesaikan isu-isu setempat seperti Badan Pengurusan Bersama (JMB) di rumah pangsa yang sama sekali berbeza dengan sistem lama,” kata Faisal.
Tegas bekas presiden Abim itu, tidak boleh nafikan kebaikan pilihan raya PBT kerana ia akan memperkasa suara rakyat dalam membawa isu setempat selain memastikan peningkatan nilai kebertanggungjawaban pihak berkuasa.
“Ia juga secara tidak langsung akan meringankan kerja ahli Parlimen dan Adun yang sebelum ini terpaksa menyelesaikan semua isu setempat melibatkan sampah sarap, longkang tersumbat dan sebagainya, sedangkan tugas mereka adalah untuk menggubal serta menyemak undang-undang dan dasar penting negara.
“Selain itu, pilihan raya kerajaan tempatan ini sebenarnya memberi manfaat kepada parti politik yang mempunyai akar umbi yang kuat termasuk di luar bandar sekiranya pilihan raya kerajaan tempatan ini diluaskan,” kata Faisal.
Dia juga berkata pilihan raya PBT akan menghidupkan kesedaran politik dalam kalangan masyarakat di sesebuah lokaliti.

