malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pekebun di Kuala Balah alami kerugian angkara gajah liar
Diterbitkan:  Dec 14, 2023 6:40 PM
Dikemaskini: 10:40 AM
ADS

Penduduk beberapa kampung di mukim Kuala Balah, Jeli, mengalami kerugian puluhan ribu ringgit apabila kebun mereka dirosakkan sekumpulan gajah Isnin lepas.

Penghulu Kampung Bukit Jering Hashim Yatib berkata dianggarkan 12 ekor haiwan liar itu memusnahkan tanaman seperti pisang, kelapa sawit dan getah milik 10 pekebun.

"Gajah liar ini memasuki kampung kami tidak kira waktu sama ada pagi atau malam. Selain kebun dimusnahkan, rata-rata penduduk juga hilang punca pendapatan kerana tidak berani untuk keluar bekerja di kebun.

"Mereka risau diserang haiwan liar itu, malah ada penduduk mendakwa pernah terserempak dengan gajah dan harimau di kebun mereka," katanya ketika ditemui Bernama di Jeli hari ini.

Pekebun, Yusuff Abdullah, 69, berkata tahun ini sahaja sudah tiga kali kebun kelapa sawitnya dimusnahkan gajah sehingga mengalami kerugian hampir RM10,000.

"Saya harap Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) segera memindahkan gajah-gajah itu, bukan sekadar halau kembali masuk hutan kerana ia tidak menyelesaikan masalah," katanya.

Penduduk Kampung Bukit Tok Ali itu berkata sebahagian anak benihnya yang baru ditanam turut dirosakkan gajah dan dia kini tidak mempunyai modal untuk menggantikan benih-benih tersebut.

"Saya tanam kelapa sawit seluas hampir satu hektar dan sebahagian anak benih dah dirosakkan.

"Sekarang ini saya tidak ada modal lain untuk membaik pulih kerosakan dan beli benih," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan daripada penduduk.

Katanya Perhilitan telah menghalau kumpulan gajah itu ke hutan berdekatan serta akan terus memantau dari semasa ke semasa supaya perkara tersebut tidak berlaku lagi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen