malaysiakini logo
story-image
ADS

Satu kumpulan pelajar universiti mencadangkan dialog peradaban diadakan di kampus-kampus bagi mengeratkan hubungan antara kaum. Mereka juga menyarankan penerbitan tulisan dan persembahan drama untuk tujuan yang sama.

Resolusi ini dicapai dalam satu seminar dua hari yang berakhir semalam dan dihadiri 40 pemimpin pelajar Melayu dan Cina daripada institusi pengajian tinggi tempatan.

Dalam seminar tersebut, mereka menyebutkan beberapa faktor yang menyebabkan wujud masalah perkauman, antaranya fahaman perkauman sempit kerana kepentingan politik, sosial, agama dan budaya golongan tertentu.

Mereka juga mendakwa dua faktor lagi termasuklah kurang interaksi dan pendedahan budaya antara kaum, dan sudut pandangan yang sempit tentang hubungan kaum.

"Pelajar harus faham situasi yang berlaku sekarang supaya kekeliruan tidak berlaku pada masa akan datang," kata wakil Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema) Jasmine Ng Fiu Sung, sebagai penganjur seminar.

Tambahnya, seminar itu itu diadakan untuk memahami secara mendalam punca-punca masalah perkauman yang berlaku akhir-akhir ini.

"Bengkel ini berjaya mencungkil kefahaman yang terpendam dalam hati peserta kerana bengkel ini membolehkan para peserta untuk membincangkan tentang sesuatu perkara yang dikatakan 'sensitif'," kata Jasmine lagi.

Turut membentangkan kertas kerja dalam seminar "Dialog Peradaban Mahasiswa-mahasiswa Negara" di Kuala Lumpur itu, aktivis pendidikan Cina, Lee Ban Chen dan editor berita malaysiakini , Fathi Aris Omar.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.