Seorang pemandu lori didenda maksimum RM100,000 kerana menyebabkan pencemaran membabitkan pelupusan haram buangan terjadual di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada 2019.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan semalam memaklumkan N Maridass didapati melepaskan enap cemar berminyak seperti yang tersenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 ke dalam sungai itu.
JAS memaklumkan syarikat P Tech Resources Sdn Bhd - yang berdepan lapan pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 - pula didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan denda RM320,000.
JAS memberitahu kes Maridass serta syarikat P Tech Resources dibicarakan bersama dan seramai 38 saksi dipanggil memberi keterangan.
Kenyataan itu menyebut Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman pada 30 Nov selepas mereka mengaku bersalah.
Kejadian pencemaran sisa bahan kimia yang menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup dipercayai susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim pada 7 Mac 2019.
Kejadian itu negara apabila 947 orang dirawat dengan sembilan daripada mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail.
Sementara itu, kenyataan JAS memaklumkan jabatan terbabit komited menangani isu pencemaran alam sekitar, justeru semua pihak diberi amaran tegas supaya tidak melakukan sebarang pelupusan haram sisa toksik dan berbahaya atau pencemaran alam sekitar.
“Menjadi tanggungjawab pihak industri untuk memastikan pengurusan alam sekitar termasuk buangan toksik dan berbahaya (buangan terjadual), kawalan pencemaran udara dan air dilaksanakan dengan sempurna bagi mencegah berlaku pencemaran yang berpotensi memberi risiko kepada alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
- Bernama

