malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis cekup individu tawar RM5 juta untuk bunuh Anwar
Diterbitkan:  Nov 28, 2023 12:26 PM
Dikemaskini: 4:54 AM
ADS

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan individu yang menawarkan RM5 juta kepada sesiapa yang dapat menembak mati Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Suspek ditahan di Kota Bharu, Kelantan.

Tawaran itu dibuat di media sosial Tik Tok.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata pemilik atau pengendali akaun Tik Tok @jaiadani89 yang berumur 34 tahun itu direman selama tiga hari bermula hari ini.

“Kes masih di peringkat siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.

Razarudin Husain

Razarudin kelmarin mendedahkan menerima laporan berhubung perkara terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar rangkaian perkhidmatan).

Terdahulu tular tangkap layar video yang dimuat naik suspek yang turut menyasarkan menteri kabinet.

Bagaimanapun video tersebut sudah dipadam.

Pemuda PKR menggesa polis menyegerakan siasatan kerana ia boleh menggugat keselamatan dan keharmonian serta mendorong lebih banyak hasutan dan budaya ekstremis jika dibiarkan.

Kes hina Agong

Sementara itu, dalam kenyataan sebentar tadi, Razarudin juga mendedahkan satu lagi tangkapan dibuat terhadap individu yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di media sosial.

Razarudin berkata individu 37 tahun itu disyaki menjadi pemilik atau pengendali akaun Facebook 'Cik Mat Cik Po' itu ditangkap pada 26 November 2023, juga di Kota Bharu.

Dia didakwa memuat naik komentar yang mempunyai kecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian, penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap raja.

Individu itu direman selama empat hari mulai semalam.

Kes itu disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian serta penghinaan terhadap raja dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen