malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
LKAN: Hampir setengah juta caj warisan di Melaka tak dikutip, diisytihar
ADS

Kelemahan dalam kutipan Caj Warisan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka bagi tahun semasa telah menyebabkan berlakunya kerugian hasil berjumlah RM498,708, dedah Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri Serta Pengauditan PematuhanJabatan/Agensi Negeri Melaka 2022.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan hari ini, semakan audit terhadap Laporan Isytihar Bayaran Hotel dan Laporan Prestasi Bayaran Hotel atau Caj Warisan dikutip daripada pengusaha hotel yang dijana daripada sistem Caj Warisan bagi tahun 2022 mendapati Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) tidak mengutip Caj Warisan daripada pengusaha hotel.

Menurut Panduan Pengguna Sistem Caj Warisan bagi Modul Hotel, pengusaha hotel perlu mengisytiharkan bilangan bilik yang disewa dan membuat bayaran setiap dua bulan sekali kepada PBT pada bulan berikutnya.

"Berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Caj Warisan Negeri Melaka 2014, kutipan Caj Warisan bagi tempoh dua bulan perlu dibayar oleh pengusaha hotel kepada PBT pada 28 hari bulan manakala bayaran 60 peratus daripada kutipan Caj Warisan perlu dibayar oleh PBT kepada kerajaan negeri pada 7 hari bulan bagi bulan yang ditetapkan.

"Bagaimanapun Semakan Audit terhadap kedua laporan tersebut yang dijana daripada sistem Caj Warisan bagi 2022 mendapati sejumlah RM349,960 Caj Warisan tidak dikutip oleh MBMB, MPHTJ dan MPAG daripada pengusaha hotel dalam tahun semasa, iaitu jumlah tersebut merupakan Caj Warisan yang diisytiharkan oleh pengusaha hotel berbanding jumlah yang dibayar oleh pengusaha hotel kepada tiga PBT," menurut laporan tersebut.

Sejumlah RM148,748 Caj Warisan pula tidak diisytihar oleh pengusaha hotel atau townstay dan tidak dikutip oleh PBT dengan melibatkan 12 atau 17.1 peratus premis hotel atau townstay, iaitu berdasarkan Sistem Caj Warisan, MBMB, MPHTJ dan MPAG masing-masing mempunyai 439, 30 dan 52 pengusaha hotel dan townstay berlesen.

Laporan itu juga menyebut pengiraan kutipan Caj Warisan yang dibayar oleh PBT kepada kerajaan negeri juga tidak tepat iaitu bagi 2018 hingga 2022, MPHTJ telah membayar sejumlah RM1.31 juta kepada kerajaan negeri iaitu 60 peratus daripada jumlah kutipan Caj Warisan.

"Semakan Audit terhadap baucar bayaran tersebut kepada kerajaan negeri mendapati MPHTJ telah membuat bayaran sejumlah RM245,998 melibatkan tiga baucar bayaran bagi 2018 dan 2019.

"Bagaimanapun berdasarkan kiraan Audit, jumlah sepatutnya dibayar bagi tempoh tersebut ialah RM277,903. Oleh itu, perbezaan sejumlah RM31,905 kutipan Caj Warisan terkurang bayar kepada kerajaan negeri," lapor laporan tersebut.

Sehubungan itu, bagi memastikan tindakan pematuhan terhadap peraturan kewangan, PBT disyor mengambil tindakan peringatan kepada pengusaha hotel dalam memastikan kutipan Caj Warisan dikutip mengikut tempoh berdasarkan garis panduan yang disediakan selain melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan rekod pengusaha hotel bagi menyemak ketepatan maklumat jumlah Caj Warisan yang diisytihar.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen