malaysiakini logo
story-image
ADS

PARLIMEN l Persidangan Dewan Rakyat menjadi gamat seketika apabila beberapa ahli parlimen daripada kedua-dua pihak mula berbalas pantun.

Detik singkat itu tercetus apabila Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) bangun untuk bertanyakan soalan yang dikemukakan kepada Menteri Pertahanan.

Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut)

“Ada hati nak tambah isteri, tambah isteri nombor dua.

“Assalamualaikum YB (Yang Berhormat) menteri, soalan saya nombor dua,” katanya bagi menunjukkan soalannya adalah soalan nombor dua dalam senarai.

Kenyataan Nordin itu bagaimanapun mengundang rasa tidak puas hati buat Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, yang berpendapat ini mungkin menyinggung keluarga ahli Parlimen Lumut itu.

“Ahli Parlimen PN buat pantun macam ini yang disiarkan secara live (langsung di televisyen), walaupun itu hak beliau, bayangkan perasaan ahli keluarga,” katanya dalam satu ciapan di Twitter.

Ramai warga maya yang membalas ciapan Yeoh turut berkongsi sentimennya dan menyelar pemimpin Bersatu itu.

Yeoh juga bukan satu-satunya ahli parlimen kerajaan yang mengkritik Nordin, yang merupakan seorang pesara pegawai tentera laut.

Beberapa ahli Parlimen lain kedengaran menegurnya sejurus selepas Nordin membacakan pantunnya itu, termasuk daripada seorang wakil rakyat wanita.

"Rendahnya... tak ada jawab, terkedu.

"Cari la pantun lain," kata seorang lagi ahli Parlimen, yang suaranya kedengaran dalam rakaman langsung itu.

Sementara itu, dalam tindak balasnya kepada Yeoh, Nordin memberitahu Malaysiakini bahawa pantunnya yang bertemakan poligami dibuat secara berseloroh.

“Itu adalah pantun lawak saja. Ahli keluarga saya memahami saya yang suka melawak.

“Kalau ada YB2 wanita yang tersinggung, saya mohon maaf. Khas kepada YB Hannah Yeoh, saya ucapkan terima kasih kerana ambil berat tentang perasaan ahli keluarga.

My family know me very well because I'm a very caring husband/father (Keluarga saya amat mengenali saya kerana saya seorang suami/bapa yang sangat penyayang).

“Lebih elok YB Hannah twitt perkara yang lebih menguntungkan dan berfaedah,” katanya.

Lihat Komen