malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
US Pizza cadang tukar nama susulan kempen boikot
Diterbitkan:  Nov 20, 2023 3:43 PM
Dikemaskini: 8:54 AM
ADS

‘Kami tidak membayar royalti kepada Amerika Syarikat’ kata mereka di sebuah kempen promosi.

Boikot yang dijalankan sempena keganasan yang berlaku di Gaza menyebabkan satu lagi rangkaian piza jenama tempatan terjejas.

Perkara itu menyebabkan US Pizza berkira-kira untuk menukar nama.

Menerusi sebuah hantaran di media sosial semalam, rangkaian makanan segera itu berkata mereka akan menukar nama daripada US Pizza kepada Kita Pizza sekiranya hantaran itu mencecah 10,000 sukaan.

Hantaran yang berlatar belakangkan gambar bendera Amerika Syarikat, Malaysia dan Palestin itu telah pun mencatatkan 1,800 sukaan setakat 2:40 petang tadi.

Syarikat itu juga mengumumkan promosi diskaun dan akan menyumbang RM1 daripada setiap pembelian untuk menyokong bantuan kemanusiaan di Palestin.

“Jangan risau, US Pizza tidak membayar royalti kepada Amerika Syarikat,” katanya.

Ramai pengguna media sosial memberikan maklum balas terhadap cadangan penukaran nama tersebut dan mencadangkan syarikat itu untuk menukar nama kepada MY Pizza yang memberi maksud Malaysia.

Bagaimanapun, ramai yang berkata bahawa sudah ada rangkaian pizza Malaysia yang dikenali sebagai My Pizza Lab.

US Pizza diasaskan oleh seorang pembuat piza Donald Duncan pada 1990-an dan cawangan pertamanya dibuka di Malaysia pada 1997.

Usahawan Malaysia Jeremy Hiew membeli jenama itu pada tahun 2015.

Ia mempunyai 100 buah cawangan di Malaysia dan Indonesia. 

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen