malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MIC sedar duduk 'di bangku simpanan' kerajaan
ADS

MIC sekali lagi mengulangi pendirian bahawa tidak akan menuntut sebarang jawatan dalam Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Presidennya SA Vigneswaran berkata kedudukan parti itu dalam kerajaan hari ini adalah lebih kepada sebagai 'pemain simpanan', dan bukannya kesebelasan utama.

"Maksud kami sebahagian dalam kerajaan adalah, kami di bangku simpanan, kami bukan pemain utama.

"Tetapi, jika diberi peluang kami sedia bermain (menjadi anggota dalam kerajaan pusat dan negeri).

"Saya nak ulang semula. Kami tak akan minta apa-apa jawatan dalam kerajaan.

"Tetapi, sekiranya perdana menteri berasa kami sesuai maka kami sedia menjadi sebahagian daripada kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MIC yang ke-77 di Maeps, Serdang, pagi ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa MIC terus diketepikan dalam pentadbiran kerajaan pusat dan negeri yang ditadbir oleh gabungan parti pemerintah.

Bagaimanapun, Vigneswaran berkata MIC juga kini mempunyai tugas lain yang lebih penting.

"Sekarang kami ada banyak tugas lain, kalau tak ada tugas lain, kemudian kami mungkin boleh fokus pada jawatan dalam kerajaan.

"Buat masa ini, ada pihak nak jawatan dalam kerajaan hanya untuk berasa bangga, tapi bagi kami jawatan dalam kerajaan adalah suatu beban.

"Jadi, baik juga sekiranya tak ada mempunyai jawatan. Yang penting kami telah pun memberi sokongan kami kepada perdana menteri," katanya.

Sementara itu, Vigneswaran yang juga bekas speaker Dewan Negara berkata MIC akan memberi tumpuan kepada masa depan parti itu berbanding 'kawan lama' pada PRU akan datang.

Perlu kritik kelemahan kerajaan

"MIC sekarang sangat praktikal. Selepas 2018, kami telah menerima realiti. Kita tak boleh lari daripada realiti.

"Realiti bermaksud, keputusan tepat perlu dibuat bukan berdasarkan persahabatan yang lama. Apa yang lebih penting adalah terbaik kepada MIC dan masyarakat India.

"Kita akan bekerjasama dengan hanya pihak yang mampu memberi kita kemenangan," katanya ketika menjawab soalan apakah perancangan bagi PRU akan datang.

Terdahulu, dalam ucapan dasar perhimpunan agung MIC, Vigneswaran meminta ahli parti itu mengkritik kelemahan dalam kerajaan hari ini.

"Kita berada dalam kerajaan perpaduan hari ini. Itu tak makna, kita perlu berdiam jika melihat kelemahan dalam kerajaan.

"Anggota parti tak semestinya berdiam kerana pucuk pimpinan tak sentuh kelemahan kerajaan," katanya.

Sebanyak 1,500 delegasi menghadiri ke mesyuarat agung tahunan hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen