Seorang anggota kanan kabinet Israel berkata Gaza yang merdeka tidak mungkin lagi, dan rakyat Palestin yang tinggal di sana harus "secara sukarela" berpindah ke negara lain.
Menteri Kewangan Nezalel Smotrich berkata ini adalah "penyelesaian kemanusiaan untuk penduduk Gaza dan seluruh wilayah itu selepas 75 tahun menjadi pelarian, dan dicengkam kemiskinan dan berdepan bahaya", katanya yang dipetik oleh Reuters.

“Negara Israel tidak lagi dapat menerima kewujudan entiti bebas di Gaza,” katanya dalam satu catatan Facebook.
Dia berkata pemindahan warga Palestin dengan sokongan masyarakat antarabangsa dan Israel, "adalah satu-satunya penyelesaian yang akan menamatkan penderitaan dan kesengsaraan buat orang Yahudi dan Arab".
Kenyataannya itu sebagai menyokong dua ahli parlimen Israel yang menulis dalam Wall Street Journal bahawa negara Barat harus menerima mereka yang mahu berhijrah daripada Gaza.

Semenanjung Gaza ditadbir oleh Hamas, dan menjadi tempat tinggal kepada kira-kira 2.3 juta orang - kebanyakan mereka adalah pelarian daripada peperangan sebelum ini atau diusir semasa pembentukan negara Israel pada tahun 1948.
Kenyataan Smotrich menimbulkan kebimbangan bahawa pembedilan tanpa henti oleh Israel yang semakin menggila dan pencerobohan ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu adalah kempen untuk menghalau penduduk Palestin dan menduduki semula tanah itu.
Sementara itu, Al Jazeera melaporkan Kementerian Luar Negeri Pihak Berkuasa Palestin menyifatkan kenyataan Smotrich itu mendedahkan "rancangan penjajah, perkauman" Israel untuk rakyat Palestin.

Ia juga menggesa campur tangan antarabangsa untuk menamatkan pendudukan Israel, termasuk di Tebing Barat.
Stesen televisyen itu melaporkan bahawa Kementerian Perisikan Israel juga telah menggariskan cadangan untuk "mengusir" semua rakyat Palestin dari Gaza ke Mesir tetapi Mesir menolak rancangan itu.
Menteri Luar Mesir Sameh Shoukry berkata Mesir menolak percubaan untuk mewajarkan pemindahan warga Palestin dan komen Smotrich adalah "ungkapan dasar kerajaan Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa", lapor Al Jazeera.

Kenyataan Smotrich itu dibuat ketika beberapa askar Israel menyiarkan video di media sosial dengan mendakwa misi mereka adalah untuk "menduduki" Gaza.
Tentera dan peneroka Israel meninggalkan Gaza pada 2005, selepas mencerobohinya selama 38 tahun.
Amerika Syarikat minggu lalu berkata ia tidak akan menyokong pendudukan semula Israel di Gaza.
Namun, Israel terus menguasai Gaza melalui sekatan yang menghalang pergerakan barangan dan manusia.

Lebih 11,000 rakyat Palestin terkorban dan lebih ramai lagi cedera dalam serangan terbaru Israel ke atas Gaza susulan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober.
Lebih 1,400 warga Israel telah terbunuh sejak itu manakala lebih 200 daripada mereka telah dijadikan tebusan.
Setakat ini, hanya empat daripada tebusan itu telah dibebaskan, manakala keluarga tebusan telah mengadakan protes menuntut kerajaan Israel berusaha untuk menyelamatkan orang tersayang mereka.

