Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) setuju memberi kelulusan kepada para peniaga menganjurkan Bazar Deepavali hanya kira-kira satu meter dari lokasi tradisi di Jalan Tun Sambanthan.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin, mengesahkan perkara tersebut kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Prihatin Peniaga Little India Brickfields selaku penganjur petang ini.
"Untuk makluman, DBKL telah memberi kelulusan bazar di kawasan sekitar Brickfields menjelang Deepavali.
"Permohonan daripada persatuan terbabit untuk menganjurkan Bazar Deepavali di lokasi asal di Jalan Tun Sambanthan dan Lorong Chan Ah Tong ditolak kerana lokasi tersebut tidak lagi kerana terdapat kerja-kerja menaik taraf jalan," katanya.
Menurut Azman, turut dipertimbangkan DBKL semasa menolak permohonan tersebut ialah pembinaan kondominium di kawasan berkenaan serta laluan siar kaki yang dinaik taraf.
Keadaan itu serta kewujudan pagar antipanjat turut menjadikan kawasan asal tidak lagi sesuai dijadikan tapak bazar.

Sebelum ini, peniaga di sekitar Brickfields mendakwa permohonan mereka untuk mengadakan bazar Deepavali ditolak oleh DBKL walaupun kegiatan itu sudah berlangsung sejak lebih 30 tahun lalu.
Azman berkata lokasi yang diluluskan DBKL itu ialah kawasan parkir kereta di sepanjang jalan Jalan Tun Sambanthan dan terletak sangat hampir dengan tapak asal.
"Namun kelulusan ini disertai dengan beberapa syarat tambahan yang telahpun dipersetujui penganjur," katanya.
Antaranya, sembilan tapak parkir yang digunakan untuk bazaar berkenaan akan dikenakan bayaran, selain penganjur perlu medapatkan khidmat anggota Rela bagi membantu mengawal lalu lintas.
Katanya, sebanyak 21 petak perniagaan akan disediakan di Jalan Tun Sambathan dan lapan petak di Lorong Chan Ah Tong.

