malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Polis pukul suspek dadah': Suaram ulang gesaan semak SOP
Diterbitkan:  Oct 12, 2023 6:09 PM
Dikemaskini: 10:58 AM
ADS

Suaram mengulangi gesaan agar prosedur operasi standard (SOP) polis disemak semula.

Ini berikutan penyebaran video yang menunjukkan seorang lelaki dipukul oleh individu yang didakwa sebagai anggota polis berpakaian biasa, dan dilihat saja oleh rakan sekerjanya.

Pengarah eksekutif pertubuhan hak asasi manusia itu, Sevan Doraisamy turut menggesa polis yang didakwa dipaparkan dalam video yang dipercayai dirakam di ibu pejabat polis daerah Klang Selatan, digantung tugas berkuat kuasa serta-merta.

"Kami menggesa agar tindakan penggantungan tugas pegawai tersebut harus dilakukan dengan serta-merta. Siasatan polis pula perlu dijalankan oleh pegawai inspektor dari Ibu Pejabat Polis Kontigen (IPK) Selangor dan bukannya dari IPD Klang Selatan bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan individu.

"Suaram juga menyeru agar Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengeluarkan satu amaran tegas dan perintah tetap (IGSO) untuk menghentikan kaedah penyeksaan semasa tahanan dan penyiasatan," kata Sevan sambil menambah bahawa Kementerian Dalam Negeri juga harus bekerjasama dengan polis dalam mengkaji semula SOP agensi penguatkuasaan itu.

Klip video berdurasi lapan saat yang dikongsi oleh kumpulan Telegram pemberi maklumat, Edisi Siasat dikatakan menunjukkan seorang suspek dadah yang menangis kesakitan ketika seorang lelaki, dipercayai polis, memijak lututnya, manakala seorang lagi lelaki memukul kakinya dengan objek yang dipercayai rotan atau hos getah.

Lelaki lain yang berpakaian biasa boleh dilihat di video itu tidak mempedulikan kejadian berkenaan.

NST memetik Ketua Polis Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata bahawa mereka akan memulakan siasatan terhadap kes itu.

Menurut laporan itu, kejadian berlaku di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah pada 2 Ogos tahun lepas, dan suspek dadah didakwa mengedar dadah pada 8 Ogos tahun lalu.

Mengulas lanjut, Sevan berkata Suaram mengecam kekejaman polis, terutama terhadap tahanan.

"Polis perlu memenuhi standard antarabangsa dan menerima pakai Prinsip Mendez di mana segala penyiasatan dan pengumpulan maklumat harus berdasarkan pematuhan kaedah saintifik, kedaulatan undang-undang, etika dan hak asasi manusia, dan bukannya melalui kekerasan atau penyeksaan.

"SOP siasatan polis serta sistem akauntabiliti polis perlu dikukuhkan dengan segera bagi memulihkan kepercayaan umum terhadap pihak polis," katanya.

Ini bukan kali pertama dakwaan keganasan polis di ibu pejabat polis Klang Selatan muncul sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2021, Umar Faruq bin Abdullah @ Hemanathan yang berusia 36 tahun meninggal dunia dalam tahanan polis di sana, hanya sehari selepas dia ditangkap.

Pada 2017, G Ganeshwaran meninggal dunia di hospital selepas mengadu masalah kesihatan semasa disoal siasat di ibu pejabat polis daerah Klang Selatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen