Menteri Sains dan Teknologi Chang Lih Kang menyifatkan penglibatan Malaysia dalam bidang sains angkasa lepas, termasuk menghantar angkasawan 16 tahun lepas, sebagai berbaloi.
Menurut Lih Kang, negara berupaya menjalankan penyelidikan dalam pelbagai bidang, iaitu sains mikro graviti merangkumi bidang perubatan dan farmaseutikal, saiz hidupan serta bioteknologi.
“Kesemua penyelidikan tersebut telah menghasilkan kertas kerja saintifik dan diterbitkan di dalam jurnal tempatan dan antarabangsa yang telah memberi sumbangan kepada penjanaan ilmu dan pengetahuan baru.
“Sebanyak lapan paten daripada penyelidikan di ISS telah difailkan di Malaysia dan juga antarabangsa serta satu trademark,” katanya.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (Pakatan Harapan-Bukit Bendera) di parlimen sama ada pelaburan 16 tahun lalu, melibatkan dana lebih “RM105 juta”, benar-benar berbaloi.
Syerleena sebelum ini menghantar soalan bertulis yang mahu tahu langkah-langkah untuk memastikan negara mempunyai graduan yang cukup dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa.
Dia juga mahu tahu berkaitan mekanisme untuk menjamin pembangunan penerokaan angkasa lepas yang setanding dengan luar negara seperti Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (Nasa).
Sementara itu, Chang berkata penyelidikan tersebut turut menyumbang kepada faedah ekonomi melalui pembangunan antibiotik baru untuk industri farmaseutikal, produk spin off dan komersial untuk kegunaan industri khususnya dalam bidang penghabluran protein.
“Program ini juga telah membuka peluang kepada negara untuk menjalin kerjasama saintifik dalam program-program inisiatif mikro graviti antarabangsa dengan Nasa dan lain-lain,” katanya.
Katanya, mulai 2007, Malaysia menghantar 30 penyelidik ke agensi angkasa Korea Selatan, Jepun, Eropah dan India.
Menurut Chang, ia dilakukan untuk pembangunan kapasiti teknologi satelit, pengoperasian stesen bumi, latihan pengendalian dan reka bentuk subsistem global sistem nagivasi satelit.
Dia bagaimanapun berkata jumlah sebenar yang ditanggung Malaysia untuk menghantar Sheikh Muszaphar Shukor ke angkasa bukan RM105 juta, tetapi hanya RM16 juta.

Katanya, dalam program off-set dengan Rusia itu, kos melatih dan menghantar angkasawan Malaysia ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada Oktober 2007 ditanggung oleh Rusia.
“Tetapi kerajaan berbelanja sekitar RM16 juta merangkumi kos-kos bagi menjalankan misi saintifik, aktiviti pendidikan, proses pemilihan angkasawan, latihan di Nasa dan juga insurans angkasawan.
“Kerajaan telah menerima pulangan RM16 juta ini dalam bentuk ROV (pulangan nilai) menerusi penjanaan ilmu, pembangunan bakat dan juga perkongsian pakar dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Chang berkata kos pembiayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) angkasa memerlukan modal yang besar.
Oleh demikian, katanya, kerajaan menggalakkan inisiatif kerjasama awam dan swasta bagi tujuan itu.
“MOSTI turut menawarkan beberapa jenis dana bagi tujuan pembiayaan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi seperti dana penyelidikan strategik yang dimanfaatkan oleh industri dan syarikat bermula dalam bidang angkasa.
“Kesemua dana ini boleh memacu pertubuhan mampan industri angkasawan tempatan,” katanya.

