Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung menyifatkan keputusan kerajaan Terengganu tidak membenarkan atlet wanita menyertai sukan gimnastik sebagai keputusan yang 'menyakiti hati banyak pihak."
Dia mengulas kenyataan Exco PAS Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim yang mengumumkan kerajaan negeri itu tidak membenarkan acara gimnastik dan gimrama wanita kerana memerlukan atlet memakai pakaian ketat dan menampakkan bentuk tubuh.
"Keputusan ini adalah keterlaluan, konservatif dan tidak bertimbang rasa. Pakaian sukan adalah untuk bertanding secara berkesan dan selesa, dan tidak harus dihukum dengan takrifan agama sempit.
"Keputusan ini telah menyakiti hati semua anak-anak yang bertahun-tahun telah melatih, serta ibu bapa yang menggalakkan anak-anak mereka untuk mengejar impian sebagai atlet.
"Bagaimanakah ibu bapa dapat perjelaskan kepada anak-anak mereka yang dihalang bertanding? Bagaimanakah dengan ruang dan masa depan golongan minoriti Bukan Islam di Terengganu?" soal Lee dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di FB hari ini.
Dia turut menyelar saranan Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Zamif Kachari agar PAS konsisten dan memperluaskan larangan itu kepada atlet lelaki serta atlet dari negeri lain yang ditadbir PAS seperti di Kelantan dan Kedah.
"Jikalau keputusan Hushamuddin adalah melampau, saya menyifatkan cadangan Zamir Ghazali, Ketua Pemuda Amanah Terengganu sebagai satu “kegilaan”.
"Beliau mencadangkan supaya negeri turut memperketatkan kod pakaian untuk sukan lain dan lelaki dan sukan lain. Ini bukan pendirian Harapan, dan jelas bukan landasan perjuangan PKR," katanya.

Justeru Lee mengajak semua pihak sama ada kawan atau seteru politik supaya menumpukan kepada isu seperti dasar ekonomi dan masalah rakyat.
"Bertarung untuk melihat siapa lebih “gah” perjuangkan identiti budaya/agama tidak membawa rakyat kita ke mana, sebaliknya akan mengalihkan perhatian ke atas isu sebenar (daya saing & kebajikan atlet), dan terus memudaratkan negara kita.
"Let's call sport a sport (Mari kita anggap sukan sebagai sukan)," kata Lee.
Semalam, Presiden Persatuan Gimnastik Terengganu (PGNT) Abdul Razak Mat Amin berkata persatuan itu akan akur dengan keputusan kerajaan Terengganu yang melarang penyertaan atlet wanita dalam acara gimnastik.
“Buat masa ini atlet gimnastik wanita kita diserap untuk menyertai acara wushu. Setakat ini seramai enam orang telah diserap ke sukan itu.
"Sekarang PGNT fokus pada atlet lelaki sepenuhnya. Malah kita sudah melahirkan antara atlet gimnastik terbaik negara,” katanya kepada Malaysiakini.
Dia merujuk Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisam, 22, yang berjaya merangkul pingat gangsa dalam kategori melombol di temasya Sukan Asia Hangzhou pada minggu lalu.
Menurutnya, gimnas wanita PGNT telah lama bersedia untuk perubahan ini supaya bakat mereka boleh diarahkan ke acara lain.
"Jadi mereka digalakkan sertai sukan wushu kerana asas dan gerakan gimnastik bersesuaian dengan kemahiran yang diperlukan dalam wushu,” katanya.

