Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai akan mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus.
Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh, berkata ini berdasarkan trend pagi ini di mana ramai pengundi muda datang awal di beberapa pusat pengundian untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
"Dari segi sambutan pengundi, saya lihat di saluran orang muda amat memberangsangkan di kedua-dua buah sekolah.
"Kalau kita lihat para pengundi datang awal dan berbaris panjang,” katanya kepada pemberita di SMK Felda Chemomoi awal hari ini.

Ghani berada di pusat pengundian itu bersama sekumpulan pegawai SPR bagi memantau proses pengundian hari ini.
Menurut Ghani, trend di Pelangai sedikit berbeza berbanding pilihan raya sebelum ini di mana pengundi muda datang awal untuk mengundi.
Ini, katanya, menunjukkan semangat tinggi dalam kalangan golongan muda di DUN berkenaan untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi.
“Setakat jam 10 pagi, peratusan keluar mengundi sekitar 21 peratus.
"Kalau kita tengok pada peratusan setiap jam 10 peratus, insya-Allah anggaran kita akan dapat capailah 70 peratus," katanya.

