malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PRK Jepak: Tanding atau tidak? Pendirian PKR belum jelas
Diterbitkan:  Oct 2, 2023 2:17 PM
Dikemaskini: 7:41 AM
ADS

Pendirian PKR Sarawak berhubung pilihan raya kecil (PRK) dewan undangan negeri (DUN) Jepak hanya akan diketahui beberapa hari sebelum proses penamaan calon pada 21 Okt, kata Ketua Pemuda PKR (AMK) Sarawak, Chiew Choon Man.

Menurutnya, parti itu sedang memikirkan pelbagai senario termasuk menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS), gabungan pemerintah di Sarawak yang akan meletakkan ahli Parti Pesaka Bumiputera (PBB) sebagai calonnya.

"Kami akan menghormati keputusan yang dibuat oleh majlis pimpinan pusat. Bagi kami, kebimbangan utama ialah kerajaan perpaduan di (peringkat) persekutuan kerana kami perlu memastikan kita mempunyai kerajaan yang stabil untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat," katanya menurut laporan Borneo Post.

PKR sebelum ini memberikan pelbagai isyarat berhubung PRK DUN Jepak.

Timbalan Pengerusi PKR Sarawak Abun Sui secara terbuka mendakwa kepimpinan negeri mahu mengelak daripada menyertai PRK itu, manakala pengerusinya Roland Engan pula berkata perkara itu diserahkan kepada kepimpinan tertinggi parti.

Pengerusi DAP cawangan Jepak, Tonny Ung menggesa PKR meletakkan calon sebagai mekanisme semak dan imbang manakala pemimpin DAP Sarawak tidak mendedahkan pendirian mereka.

Kerusi Jepak kosong berikutan kematian penyandangnya, Talib Zulpilip yang memenangi kerusi itu selama enam penggal. Semasa pilihan raya dewan undangan negeri Sarawak pada 2021, Talib mempertahankan kerusi itu dengan memenangi 69.4 peratus undi.

Setakat ini, satu-satunya parti pembangkang yang menunjukkan minat untuk menyertai pilihan raya Jepak ialah Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi).

Aspirasi, yang tidak pernah memenangi pilihan raya sebelum ini pada 28 Sept lalu dilaporkan berkata mereka dalam proses menapis calon dan berjanji bahawa calon mereka merupakan anak tempatan yang mampu bersuara untuk masyarakat.

Ketika dihubungi, Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan pula berkata pihaknya masih berkira-kira untuk menyertai PRK DUN Jepak.

“Kita akan tahu dalam beberapa hari lagi,” katanya kepada Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen