Presiden MCA Wee Ka Siong menggesa pengendali platform DuitNow QR dan bank agar tidak mengenakan caj kadar diskaun pedagang (MDR) bagi mengelakkan pengguna terutama peniaga kecil terjejas.
Wee berkata, sebaliknya Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan bank perlu meneruskan penepian (waiver) MDR yang dilaksanakan sejak 2019.
"Keuntungan bank-bank sudah sangat tinggi. Mereka sepatutnya teruskan penepian bagi pengguna DuitNow QR yang kebanyakannya adalah dari peniaga kecil yang akan menerima bayaran tunai sekiranya mereka tidak mengguna DuitNow QR.
"Jadi bank juga akan menerima manfaat dari pengurangan kos pengendalian wang tunai sekiranya peniaga lebih mengguna kaedah DuitNow QR berbanding wang tunai. Penepian ini juga adalah seiring dengan usaha digitalisasi kerajaan, katanya.
Menurut Wee kenyataan media PayNet hari ini mengesahkan bahawa memang terdapat pengenaan caj MDR tetapi ia diberi penepian sehingga 1 November 2023.
"Kalau pihak media, wakil rakyat dan para peniaga tak buat bising dan protes semalam, saya yakin caj kepada peniaga (MDR) akan dikenakan mulai pada 1 November 2023 tanpa pertimbangan langsung dari pihak bank.
"Terbaru CIMB telah bersetuju memberi penepian MDR untuk tempoh 2 bulan lagi mulai 1 November 2023. Di samping itu, satu lagi berita baik yang diumumkan oleh Public Bank bahawa banknya juga memberi pengepian MDR sehingga satu tarikh yang diberitahu kelak," katanya.
Dia berkata demikian ketika mengulas kenyataan PayNet hari ini yang mengesahkan mengenai pengenaan caj MDR, tetapi diberi peenepian sehingga 1 November 2023.
Bagaimanapun, PayNet berkata caj MDR bukan merupakan perkara baru atau caj tambahan kerana ia dikecualikan ketika tempoh pengenalan aplikasi itu pada 2019, bagi menggalakkan penggunaannya.
"Pada masa ini pembayaran kad debit dan kredit dikenakan MDR sedangkan terdapat penepian MDR pada pembayaran QR.
"Penepian MDR sepatutnya berakhir sejak sembilan bulan lalu," kata PayNet.
Pada Selasa lalu, portal Malaysianow melaporkan peniaga yang menerima pembayaran melalui DuitNow akan dikenakan caj transaksi mulai 1 November.
Portal berita itu juga melaporkan tiada caj dikenakan sebelum ini untuk transaksi DuitNow QR di bawah RM5,000 manakala terdapat bayaran tetap sebanyak RM0.50 ditanggung untuk transaksi melebihi RM5,000.
Sebagai respons, PayNet hari ini berkata yuran 50 sen untuk urus niaga melebihi RM5,000 adalah sebenarnya untuk pemindahan dana rakan setara (peer-to-peer) daripada QR peribadi ke QR peribadi lain, bukan pembayaran kepada peniaga.
“Ini sama sekali tidak berkaitan dengan pembayaran QR kepada pedagang dan kedua-dua yuran tidak akan dikenakan untuk transaksi yang sama dalam apa-apa situasi,” kata PayNet.

