malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Setiausaha akhbar lapor polis, nafi Saifuddin mohon maaf pada Sanusi
ADS

Setiausaha akhbar kepada Menteri Dalam Negeri, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal membuat laporan polis berhubung dakwaan mengatakan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memohon maaf kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor..

Ia susulan kenyataan yang tular di media sosial yang mendakwa Saifuddin telah memohon maaf kepada Sanusi secara terbuka selepas menuduh pemimpin PAS itu menyalahgunakan jawatan menteri besar dan pengerusi Menteri Besar Diperbadankan (MBI) untuk mencuri REE atau terlibat dalam kecurian REE.

Zakwan yang membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, hari ini berkata kenyataan itu bersifat jahat untuk menjatuhkan reputasi menteri terbabit.

"Saya menyifatkan sebaran tersebut merupakan satu sebaran yang tidak tepat dan bersifat fitnah.

"Ia sengaja dimainkan oleh pihak tertentu serta boleh menggugat keharmonian dan ketenteraman awam," katanya kepada Malaysiakini.

Zakwan yang juga timbalan setiausaha agung PKR meminta polis segera menyiasat fitnah jahat tersebut daripada terus dimainkan pihak tertentu.

Terdahulu, Saifuddin semalam menafikan dakwaan yang mengatakan dia memohon maaf kepada Sanusi Md Nor berhubung kecurian REE.

Setiausaha agung PKR itu sebaliknya berkata dia bersedia untuk berdepan dengan Sanusi di mahkamah.

"Saya mengajak Sanusi berdepan di mahkamah nanti, bertarung dengan hujah dan bukti.

"Bukan dengan fitnah yang sudah menjadi ‘makanan harian’ beliau," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen