Polis akan menyiasat ‘kes sos cili’ McDonald’s Taman Buaya, Ayer Keroh bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan ugutan jenayah.
Siasatan dibuat susulan laporan pekerja restoran makanan segera itu yang risaukan keselamatannya, selepas seorang pelanggan merakam insiden berkenaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata pengadu berusia 19 tahun telah dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat polis (IPD) Melaka Tengah.
Pelanggan yang menularkan perkara itu pula sedang dikesan, lapor Utusan Malaysia.
“Hasil siasatan awal mendapati, terdapat pelbagai versi cerita kejadian yang berlaku di mana versi lelaki tersebut, beliau diminta untuk membayar sos ekstra yang diminta walaupun terdapat pembelian makanan.
“Versi kedua adalah merupakan versi pengadu di mana dia dipaksa oleh lelaki tersebut untuk menjual 10 paket sos cili, walaupun telah diterangkan bahawa tiada pembelian sos cili dibenarkan kerana ia diberikan secara percuma oleh Mcdonald’s,” dia dipetik sebagai berkata.
Pelanggan itu, dipercayai calon Bersatu Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh pada pilihan raya umum 2018, sebelum ini mendakwa dikenakan bayaran RM10.60 untuk 10 paket kecil sos cili.
Mcdonald’s dalam kenyataan balas berkata pelanggan itu berkeras untuk membayar selepas pekerjanya tidak sengaja memberikan sos cili yang tidak cukup.
Christopher berkata, kejadian berlaku pada 22 September tetapi laporan polis dibuat empat hari kemudian, iaitu semalam.
Sementara itu, Christopher berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengeluarkan kompaun kerana kegagalan mempamerkan tanda harga pada sos cili di premis itu.

