Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) disaran segera mengadakan mesyuarat, bagi merangka strategi dan pelan tindakan berhubung kemungkinan banjir dan tanah runtuh yang biasanya berlaku dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus berkata perkara itu, selaras dengan Sub-Perkara 25 (a) Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20, yang mahukan satu tatacara tindak balas digerakkan apabila berlakunya sebarang bencana dalam negara.
“Sebagai persediaan awal bagi menghadapi MTL yang dijangkakan pada November, Nadma telah mengarahkan supaya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memastikan, JPBD yang dipengerusikan oleh pegawai daerah untuk bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang boleh berlaku.
“Selain itu, Nadma melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal, di samping sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana dari semasa ke semasa,” katanya kepada Bernama.
Minggu lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Armizan Mohd Ali dilaporkan mahu Nadma memberi tumpuan terhadap 89 daerah yang dikenal pasti sebagai kawasan mudah banjir khususnya di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor menjelang MTL.
Ini kerana kesemua daerah itu, pernah terlibat dengan bencana banjir ketika MTL 2022/2023 dan daripada jumlah itu, 77 daerah berdepan dengan kejadian banjir berulang lebih daripada sekali.
Mengulas lanjut, Khairul Shahril berkata bagi memastikan sebarang kelemahan dalam pengurusan bencana sebelum ini diperbaiki, NADMA juga telah melakukan beberapa pembaharuan antaranya melaksanakan awal kerja-kerja mitigasi seperti penyelenggaraan sistem perparitan dan sistem amaran awal.
“Simulasi dan latih amal bersepadu juga telah diadakan melibatkan komuniti sebagai initial responder, bagi melengkapi Bengkel Pengurusan Bencana bagi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) yang diadakan untuk meningkatkan keupayaan pengendalian dan kerjasama dalam kalangan agensi tindak balas,” katanya.
Dalam urusan penyediaan makanan dan bantuan kepada mangsa banjir yang sering kali menerima rungutan, Khairul Shairil berkata sebanyak 157 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga sedia digerakkan ke kawasan yang terjejas di seluruh negara bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa terlibat.
Menurutnya, kerjasama dengan NGO itu dijalankan di bawah rangkaian Rakan Nadma bagi memastikan tiada kelewatan dalam agihan bantuan dan makanan kepada mangsa yang sedang dilanda bencana.
“Demi kesejahteraan penghuni pusat pemindahan sementara (PPS), pihak kerajaan juga telah bersetuju agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kali ini menggunakan pilihan makanan bungkusan retort kepada mangsa sepanjang tempoh 24 jam berada di pusat itu,” katanya.
- Bernama