malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PN hilang Kemaman: Mahkamah batalkan kemenangan Che Alias
ADS

Mahkamah Pilihan Raya hari ini membatalkan kemenangan calon PN Che Alias Hamid di kerusi Parlimen Kemaman.

Ini susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Anselm Charles Fernandis yang membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh pempestiyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul yang juga adalah calon BN.

Keputusan dibuat setelah mahkamah berpuas hati bahawa pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.

Mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar kos sebanyak RM30,000 kepada pihak pempestiyen.

Bagaimanapun mahkamah bersetuju untuk menangguhkan pemakluman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersabit keputusan mahkamah hari ini sehingga 3 Oktober depan.

Ini sementara menunggu tindakan atau rayuan daripada pihak responden.

Peguam Che Alias, Yusfarizal Yussof mengesahkan kepada Malaysiakini mengenai keputusan hari ini dan ketika ditanya jika PN akan merayu kepada Mahkamah Persekutuan, peguam itu berkata mereka akan membincangkan isu berkenaan.

Sekiranya PN tidak memfailkan rayuan ke mahkamah tertinggi dalam tempoh 14 hari hari ini, SPR akan mengisytiharkan kerusi parlimen itu kosong, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya kecil.

Sebelum ini pada 13 Februari lalu, Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen itu apabila membenarkan bantahan awal oleh Che Alias berhubung petisyen yang dikatakan mengandungi fakta cacat dan tidak sah bagi menyokong dakwaan rasuah semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun pada 2 Mei lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Wan Mohamad Hisham untuk mengembalikan semula petisyen berkenaan menjalani perbicaraan penuh.

Sebelum ini pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya turut membenarkan petisyen calon BN, Mohd Zubir Embong di Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi calon PAS, Ahmad Amzad Hashim.

Pada PRU15 tahun lalu, Che Alias merampas kerusi Kemaman dengan majoriti 27,179 undi. Dia menewaskan calon BN dan bekas menteri besar Terengganu Ahmad Said.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen