Benar sejagat mempunyai kaitan dengan fikiran saintifik, dan benar budaya bersifat dogmatik.
Dalam pengalaman manusia, apabila menghadapi masalah, kita ingin mengetahui apa masalah itu, dari mana datangnya, mengapa ia datang? Kita mahu tahu mengapa hal ini berlaku.
Dalam masa yang sama kita juga cuba mencari jalan mengatasi masalah. Kita beralih dari persoalan mengapa kepada bagaimana.
Pandemik Covid-19
Pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia dengan mengejut pada penghujung tahun 2019.
Tiada siapa yang tahu dari mana datangnya. Kita hanya diberitahu serangan ini cepat merebak, dan mereka yang kena penyakit mungkin maut.
Kerana datangnya tiba-tiba, tiada ubatnya ketika itu.
Pihak pemerintah kebanyakan negara mengarahkan lockdown. Seluruh dunia farmasi, saintis, penyelidik dan doktor mencari ubat.
Banyak nyawa terkorban.
Reaksi pemikiran sains
Di sini nampak cara cara pemikiran sains bertindak:
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), badan bawah Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu yang bertindak sebagai koordinator kesihatan umum antarabangsa, mengarahkan lockdown.
Seluruh dunia diarah berkurung.
Kerajaan, ahli akademik, saintis, mula mencari mengapa dan bagaimana bencana ini bermula. Mereka mahu memahami apa sebenarnya penyakit ini.
Seluruh dunia farmasi, saintis, penyelidik ubat dan doktor mencari ubat. Kalau tiada, mereka mencari bahan-bahan yang mungkin boleh dijadikan ubat.
Mereka membuat ujian dan eksperimen dan menyebarkan hasilnya kepada seluruh manusia.
Sekiranya mujarab, sebarkan pengetahuan ini ke seluruh dunia. Sekira gagal, cari lagi.
Pemikiran dan tindakan secara ini dinamakan metod sains. Apabila menghadapi masalah, fikiran akan cuba memahami hal berkenaan–mengapa, bagaimana, di mana ia berlaku.
Metod ini juga menunjukkan fikiran terbuka, kalau tak tahu ambil segala tindakan supaya tahu.
Kalau fakta atau buktinya salah, ada peluang membetulkannya. Dan peluang ini terbuka kepada semua manusia.
Disonansi susah wujud dalam situasi ini.
Perhatikan langkah-langkah yang diambil dipersetujui oleh tamadun manusia di mana saja mereka berada.
Reaksi fikiran dogmatik
Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengulangi kenyataannya bahawa pandemik Covid-19 adalah ujian kepada manusia dan hanya “kerajaan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Sempurna” boleh menghapuskan virus itu.
Katanya, manusia tetap mempunyai kekurangan dan kelemahan, oleh itu pemimpin perlu bermuhasabah diri untuk menampung kekurangan berkenaan.
“Hanya mereka yang jahil agama saja mencari kelemahan dan kekurangan untuk diuar-uarkan, tanpa sama-sama tolong-menolong dalam menghadapi keadaan yang sangat mencabar seluruh dunia dan penduduknya,” katanya dalam catatan di Facebook.
Anggota parlimen Marang berkata, seluruh dunia masih dilanda penularan Covid-19 dan tiada negara yang berjaya menghapuskan pandemik itu dan kesan sampingannya ke atas kehidupan rakyat.
“Termasuklah negara paling maju dan kaya kerana apa yang berlaku adalah ketetapan Allah yang tiada kuasa dapat melawan kehendak-Nya.”
Hadi Awang terima malapetaka sebagai ‘kurnia’ Tuhan, tanpa menjawab soal mengapa dan bagaimana.
Dia tidak langsung tergerak membuat sesuatu demi mencari jawapan menyenangkan kesengsaraan manusia.
Pemikiran ini berbeza sekali dengan fikiran saintifik, kalau tak tahu serah sahaja kepada Tuhan.
Kalau fakta atau bukti salah, tiada seorang pun boleh membetulkannya. Disonansi saling wujud dalam situasi ini
Doktrin dan dogma
Abdul Hadi tunjukkan pemikiran dogmatik. Dogma pula berada setapak di depan doktrin. Apa pula doktrin dan dogma itu?
Doktrin ialah sesuatu fahaman, ajaran, pegangan, hujah atau pandangan, falsafah yang tiada bukti, tetapi disebarkan kepada rakyat untuk diterima.
Tiada apa-apa hukuman sekiranya ditolak.
Dogma pula serupa dengan doktrin, tetapi lebih tegas. Ia memaksa manusia menerima ideanya. Jika ditolak, mereka akan diseksa.
Misalan, dalam kes serangan Covid-19, Abdul Hadi berkata ia datang daripada Tuhan, dan manusia tidak berupaya melawannya.
Maksudnya, berdosa jika manusia melawan kehendak Tuhan.
Perasaan takut – konservatif dan konformis
Perbezaan antara doktrin dan dogma satu sahaja, iaitu perasaan takut.
Manusia boleh mendengar sesuatu doktrin, dan bebas menerima atau menolaknya.
Dogma pula lebih tegas: “Dengar kata-kata ini. Sekiranya ingkar kamu akan terima hukuman!”
Dogma menimbulkan perasaan takut:, takut kerana tidak tahu.
Takut menerima balasan hasil dari kelalaian membuat sesuatu.
Dalam agama takut melanggar ajaran agama kerana berdosa, dan akan mendapat balasan di akhirat nanti.
Kerana tidak tahu, tak berani mahu tahu.
Pemikiran sejenis ini selalunya berpegang kepada yang ada, kepada status quo. Ia konservatif, konformis, dan bertumpu kepada kuasa ghaib.
Pemikiran ini susah menghadapi perubahan.
Kesimpulan, norma pemikiran manusia mempunyai dua jenis, saintifik dan dogmatik.
Fikiran manusia menyelesaikan persoalan mengapa dan bagaimana. Fikiran saintifik sering menjawab soal mengapa dan bagaimana.
Fikiran dogmatik pula mampu menjawab soal mengapa sahaja.
Pengalaman manusia dalam kes pandemik Covid-19 menggambarkan situasi ini.
AB SULAIMAN ialah seorang penulis yang memfokuskan kepada isu-isu Melayu. Buku tulisannya antaranya Looking Into The Alternate Malay Universe: Crisis And Opportunity in A Pandemic dan Pemikiran Melayu: Kolot atau Progresif.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Berikut ulasan-ulasan dalam siri ini:
Malaysia mundur ke belakang (1)

