malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Belanjawan 2024: Veteran tentera minta teruskan pemberian khas pada pesara
Diterbitkan:  Sep 19, 2023 2:22 PM
Dikemaskini: 2:22 PM
ADS

Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) memohon kerajaan mempertimbangkan untuk meneruskan skim Pemberian Khas Kepada Pesara (PKKP) pada Belanjawan 2024 yang akan dibentang pada 13 Okt ini.

Presidennya, Datuk Sharuddin Omar, berkata sekiranya kerajaan tidak meneruskan PKKP mereka akan kehilangan 20 peratus atau kurang pendapatan bulanan secara mengejut.

“Walaupun pada 28 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan kenaikan pencen tahunan sebanyak dua peratus setiap tahun bermula 2013 sebagai tidak sah namun kerajaan terus memberi faedah sedemikian dalam bentuk skim PKKP bermula Julai hingga Disember ini.

“Jika skim PKKP ini tidak diteruskan pada Januari 2024 ia akan memberi kesan kepada veteran tentera dan seluruh pesara kerajaan,” katanya pada sidang media di Wisma Pahlawan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, beliau juga berharap agar kerajaan akan melaksanakan pelarasan pencen kepada veteran ATM yang bersara sebelum 1 Jan 2013 pada pembentangan Belanjawan 2024.

Sharuddin berkata bukan semua pesara tentera menuntut pelarasan pencen berkenaan.

“Jumlah veteran yang terlibat dalam pelarasan pencen adalah seramai 78,546 orang daripada jumlah keseluruhan 134,682 pesara ATM.

“Sekiranya kita berasaskan kepada amaun pencen bulanan yang diterima tanpa sumber pendapatan lain, seramai 73,339 warga veteran sedang berada dalam kategori B40,” katanya.

Menurutnya, situasi ini akan berterusan jika langkah-langkah penambahbaikan tidak diambil tindakan.

Pada Ogos lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dilapor berkata beliau mengharapkan penyelarasan pencen veteran ATM dapat dilaksanakan pada tahun depan.

Susulan itu, kementerian berkenaan telah menghantar kertas cadangan mengenai perkara itu untuk perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pihak terlibat.

- Bernama

Lihat Komen