malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Bayi dirampas': Penafian pantas diragui, MP gesa siasatan bebas
Diterbitkan:  Sep 19, 2023 8:19 AM
Dikemaskini: 8:24 AM
ADS

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii menggesa siasatan yang telus dan bebas dijalankan terhadap dakwaan bayi "dirampas" di sebuah hospital Sabah.

“Tidak sepatutnya ada sebarang kompromi dalam perkara ini dan siasatan bebas begitu penting untuk menyelesaikan perkara ini, dan memastikan mereka yang bertanggungjawab tanpa mengira kedudukan dan jawatan mereka.

“Walaupun Jabatan Kesihatan Sabah telah membuat laporan menafikan dakwaan itu, masa laporan itu dibuat sehari selepas laporan berita itu diterbitkan, dan kepantasan ‘siasatan dalaman’ menimbulkan banyak persoalan dan membangkitkan keraguan mengenai kebebasan siasatan dalaman," kata pemimpin DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Malaysiakini menyiarkan laporan beberapa kes mengenai layanan terhadap wanita tanpa kerakyatan di Hospital Lahad Datu, yang hilang atau diancam bakal kehilangan hak penjagaan anak mereka.

Dalam satu kes, siasatan hospital mendapati seorang ibu membunuh diri bersama bayinya selepas dia diberitahu dia mungkin kehilangan hak penjagaan anaknya yang berusia lima bulan dan dipaksa menjelaskan bil hospital yang tinggi untuk rawatan anaknya.

Jabatan Kesihatan Sabah menafikan dakwaan itu dan telah melakukan siasatan dalaman berhubung perkara itu.

Dalam pada itu kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) meminta Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan itu.

Mengulas lanjut, Yii berkata dia tidak mempersoalkan tahap profesionalisme kakitangan Jabatan Kesihatan dan adalah perkara biasa untuk menimbulkan keraguan mengenai keadilan siasatan dalaman berkenaan, kerana ia mungkin melibatkan diri mereka sendiri.

"Siasatan bebas sebegini mesti melibatkan pegawai daripada kementerian lain, bagi menangani isu sistemik itu. Mereka juga mesti melihat kemungkinan kejadian berlaku di hospital lain, terutama kepada mereka yang tidak berdaya seperti tidak memiliki dokumen.

"Kita mesti melihat punca isu itu untuk mengelakkan kemungkinan kanak-kanak dirampas di hospital kita di seluruh negara. Lebih penting lagi, tiada ibu yang harus melalui ujian ngeri seperti dipisahkan secara paksa dan kehilangan anak mereka yang baru lahir,"katanya.

Lihat Komen