Sepuluh ahli dewan undangan negeri (Adun) daripada kalangan barisan pembangkang Selangor dipilih menganggotai Jawatankuasa Portfolio 2023 yang ditubuhkan PN bagi mewujudkan mekanisme semak imbang yang lebih berkesan dengan anggota exco.
Ketua pembangkang yang baharu, Mohamed Azmin Ali, berkata peranan 10 Adun PN dalam portfolio itu bertujuan memastikan perbincangan dan perbahasan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor lebih berfokus kepada isu-isu yang dapat membantu rakyat.
“Kewujudan 10 portfolio ini akan dibantu oleh tiga ahli jawatankuasa lain yang akan dianggotai oleh Adun PN lain berdasarkan pengalaman dan latar belakang masing-masing,” katanya yang juga Adun Hulu Kelang pada sidang media selepas mesyuarat pertama penggal pertama DUN ke-15 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, hari ini.
Sepuluh portfolio berkenaan ialah kewangan, ekonomi, tanah dan sumber alam yang diketuai sendiri oleh Azmin; pendidikan dan sumber manusia (Adun Paya Jaras Halim Tamuri); kerajaan tempatan, perumahan dan infrastruktur (Adun Dengkil Jamil Salleh); kesihatan, alam sekitar dan perubahan iklim (Adun Taman Medan Dr Afif Bahardin) serta sains, teknologi, inovasi, komunikasi dan industri digital (Adun Batang Kali Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani).
Bagi portfolio generasi muda dan sukan pula ia diketuai Adun Gombak Setia Muhammad Hilman Idham; agama Islam dan pembangunan desa (Adun Semenyih Nushi Mahfodz); wanita, keluarga, kebajikan dan perpaduan (Adun Permatang Nurul Syazwani Noh), pertanian dan industri agromakanan (Adun Sabak Sallehen Mukhyi) dan pelancongan dan kebudayaan warisan Melayu (Adun Bukit Melawati Noorazley Yahya).
Azmin berkata barisan Adun pembangkang akan dibantu oleh satu sekretariat khas yang ditubuhkan untuk membantu mereka mendapatkan bahan rujukan daripada beberapa sumber bagi melancarkan proses perbahasan semasa sidang DUN nanti.
Pilihan Raya Negeri Selangor pada 12 Ogos lepas menyaksikan gabungan PH-BN memenangi 34 kerusi manakala PN memperoleh 22 kerusi.
- Bernama