Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah hari ini membuat laporan polis susulan dakwaan berlaku kes ‘merampas bayi’ di hospital di negeri itu.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Asits Sanna berkata pihaknya telah menjalankan siasatan segera susulan laporan Malaysiakini semalam (15 Sept) bertajuk “Baby snatching: How stateless mums lose their infants in Sabah hospital”.
Katanya, JKN Sabah mendapati dakwaan itu "tidak benar dan tidak berlaku" di mana-mana hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di Sabah.
Dr Asits menjelaskan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu memandangkan kes itu dikatakan berlaku di hospital daerah berkenaan.
BACA BERKAITAN:
Bayi dirampas: Bagaimana ibu tiada kerakyatan 'hilang' anak di hospital Sabah
“Pihak JKN Sabah mengambil perhatian serius berhubung dakwaan tersebut dan memberi jaminan kepada semua pelanggan di fasiliti-fasiliti JKN Sabah bahawa keselamatan dan kebajikan pelanggan adalah keutamaan jabatan.
“Setiap pesakit yang mendapat rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan akan diberi layanan saksama berdasarkan peruntukan undang-undang dan peraturan sedia di Malaysia,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Semalam, Malaysiakini melaporkan terdapat banyak kes di mana bayi yang dimasukkan ke wad di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selepas dilahirkan oleh wanita tiada kerakyatan diambil dari ibu mereka tanpa kebenaran.
Sementara itu, Dr Asits berkata bagi kes bayi dan kanak-kanak yang ditinggalkan atau terabai, pihak hospital akan merujuk kepada Pegawai Pelindung Kanak-Kanak selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Menurutnya, JKN Sabah menjamin untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung kes tersebut.
"Pihak JKN Sabah mengambil perhatian serius berhubung dakwaan tersebut dan memberi jaminan kepada semua pelanggan di fasiliti-fasiliti JKN Sabah bahawa keselamatan dan kebajikan pelanggan adalah keutamaan jabatan.
"Jabatan ini juga komited dalam menjalankan siasatan terhadap semua dakwaan yang diterima bagi tujuan menambah baik mutu perkhidmatan kami," jelasnya lagi.

