malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Curi RM22 duit masjid: Ahli perniagaan tawar bantuan guaman percuma
Diterbitkan:  Sep 11, 2023 7:00 PM
Dikemaskini: 11:00 AM
ADS

Seorang ahli perniagaan menghulurkan bantuan guaman secara percuma kepada seorang individu yang didakwa mencuri RM22 dari tabung masjid di Kuala Terengganu.

Dalam satu kenyataan, Sunny Ung berkata kes ini boleh diselesaikan secara baik tanpa perlu dibawa ke mahkamah memandangkan Orang Kena Tuduh (OKT) berada dalam keadaan terdesak.

"Saya merujuk kes seorang tukang rumah didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada 7 September lalu kerana mencuri duit tabung masjid sebanyak RM22.

"Saya difahamkan, OKT tidak diwakili oleh mana-mana peguam dalam kes tersebut. Disebabkan hal itu, saya menawarkan khidmat peguam Tetuan Ahmad Deniel Ruben & Co yang mana segala kos akan saya tanggung sepenuhnya," katanya.

Dalam kes curi di Kuala Terengganu itu, penganggur 45 tahun Suhaidi Abdul Hamid mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmod.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri duit tabung Masjid Pulau Sekati, Kuala Terengganu pada 27 Jun lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Namun, Sunny berpendapat bahawa OKT perlu mendapatkan pembelaan sewajarnya dalam kes tersebut.

"Saya difahamkan, OKT melakukan perkara berkenaan kerana mahu membeli susu untuk anaknya," katanya.

Lihat Komen