malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis T'ganu nafi sabotaj himpunan tahunan RXZ
ADS

Polis Terengganu menafikan bahawa pelaksanaan Op Khas Motosikal pada Jumaat dan Sabtu lepas mengandungi unsur sabotaj terhadap program himpunan tahunan RXZ Members 5.0 yang berlangsung dalam tempoh sama di Kuala Nerus.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata operasi tersebut dijalankan secara bersepadu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas menerima aduan dan rungutan orang ramai terhadap tindakan segelintir penunggang motosikal yang bukan sahaja memandu secara melulu, malah mengganggu ketenteraman awam.

Beliau menegaskan operasi tersebut tugas rutin yang dijalankan pihak polis bagi memastikan keselamatan orang ramai dan bukannya berunsur politik seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Selepas mendapat aduan, pihak kami telah menjalankan pemantauan dan memang benar terdapat pelanggaran undang-undang dalam kalangan peserta RXZ Members 5.0 yang menunggang secara melulu hingga membahayakan pengguna jalan raya lain termasuk di kawasan lebuh raya dan jalan negeri.

"Bunyi ekzos yang diubah suai pula sangat kuat hingga mengganggu pesakit di hospital dan masyarakat yang tinggal berdekatan. Jadi ini memang tugas rutin polis...tak ada kena mengena dengan politik atau ada arahan sesiapa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.

Menurut Mazli pihak polis sentiasa menyokong program atau aktiviti yang memberi impak positif kepada sosioekonomi penduduk selagi ia tidak melanggar undang-undang sedia ada.

Katanya polis juga tidak boleh berkompromi dengan isu keselamatan orang awam dan segala tindakan yang diambil terhadap peserta program RXZ Members 5.0 adalah mengikut lunas undang-undang sedia ada.

"Tiada isu dengan penganjur kerana mereka dah mohon permit daripada polis, cuma segelintir pemilik motosikal yang mengambil kesempatan di sebalik program itu untuk lakukan kesalahan," katanya.

Sejak semalam warga net meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial setelah ada peserta program yang berlangsung di Gong Badak, Kuala Nerus dengan menghimpunkan pemilik motosikal RXZ termasuk dari Sabah dan Sarawak itu, ditahan polis dan JPJ dalam op berkenaan selain ada yang motosikal mereka disita.

Sebahagian hantaran mengaitkan tindakan pihak berkuasa itu sebagai arahan daripada 'pihak atasan' memandangkan acara itu diadakan di negeri pembangkang.

Dalam pada itu, Mazli berkata 185 motosikal ditahan dan 292 saman dikeluarkan sepanjang dua hari operasi yang dijalankan di sekitar daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu itu.

Beliau berkata antara kesalahan yang direkodkan tiada cermin sisi, tiada lesen memandu, pengubahsuaian ekzos kenderaan dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

"Sepanjang dua hari operasi, 73 kes kemalangan turut dilaporkan dengan empat daripadanya adalah kemalangan maut melibatkan peserta program RXZ Members 5.0," katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Terengganu Zulkarnain Yasin berkata 134 kesalahan direkodkan pihaknya sepanjang dua hari operasi dengan beberapa kesalahan ekstrem dikesan seperti mengubah suai paip ekzos motosikal hingga menjadikan bunyi terlalu bising dan menggunakan nombor pendaftaran terlalu kecil.

"Daripada 40,000 peserta program RXZ Members 5.0, hanya 1.34 peratus yang dikenakan tindakan kerana melanggar peraturan. Jadi, tiada istilah 'pukat-memukat' seperti didakwa sesetengah pihak kerana tindakan yang diambil untuk menjaga keselamatan pengguna jalan raya lain dan orang ramai," katanya pada sidang media berasingan hari ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen