malaysiakini logo
story-image
ADS

Dunia kini telah beralih dari fasa pandemik kepada fasa endemik Covid-19. Dengan adanya vaksin pencegahan dan penurunan kes yang ketara, dunia kini kembali kepada kehidupan tanpa ada sekatan perjalanan, tanpa penjarakan sosial, tanpa memakai pelindung muka dan seumpamanya.

Pada awal krisis Covid-19, pelbagai spekulasi muncul. Perbahasan tentang teori konspirasi berlegar di segenap alam maya dan nyata, di berita-berita, di internet, di media-media sosial.

Virus Covid-19 dikatakan sengaja dicipta di dalam makmal dan disebarkan untuk tujuan menggugat kestabilan politik dan ekonomi. Ada juga teori mengatakan virus covid-19 ini direkayasa sebagai senjata biologi dalam perang perdagangan antara dua kuasa besar.

Begitu juga teori konspirasi tentang vaksin. Dakwaan vaksin covid-19 digunakan untuk menanam cip mikro di dalam badan manusia untuk tujuan pengawasan. Vaksin juga turut didakwa mempunyai kesan sampingan yang sangat teruk dan bahaya, dan perkara ini dikatakan disorok dari pengetahuan umum oleh syarikat farmasutikal dan pemerintah.

Teori konspirasi bukanlah perkara baru. Banyak krisis dan tragedi dunia yang berlaku sebelum ini turut dikaitkan dengan teori konspirasi. Antaranya peristiwa serangan ke atas World Trade Center di New York pada 11 September 2001, pendaratan Apollo di bulan, pembunuhan JF Kennedy, New World Order dan banyak lagi. Di Malaysia contohnya, tragedi MH370 dikaitkan dengan teori konspirasi.

Banyak filem Hollywood juga turut memaparkan plot teori konspirasi. Antaranya The X-Files: Fight the Future, Enemy of the State, National Treasure, V for Vendetta, The Da Vinci Code, dan Snowden.

Apabila teori konspirasi mendapat penerimaan dan pengaruh yang meluas, ia boleh menyumbang kepada pelbagai kesan negatif yang menjejaskan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat. Walau bagaimanapun, kesan teori konspirasi kepada masyakat mungkin akan berbeza-beza bergantung kepada keadaan dan konteks krisis atau tragedi yang berlaku.

Contohnya kesan Teori konspirasi tragedi MH370 tidak begitu serius seperti teori konspirasi pandemik Covid-19. Tragedi MH370 berkaitan dengan krisis keselamatan penerbangan yang melibatkan golongan atasan manakala pandemik Covid-19 melibatkan krisis kesihatan setiap individu di dalam masyarakat.

Antara kesan teori konspirasi Covid-19 ialah:

1. Defisit kepercayaan terhadap institusi-institusi berautoriti - Teori konspirasi sering melibatkan ketidakpercayaan terhadap kerajaan, media, institusi saintifik, institusi agama dan seumpamanya. Defisit kepercayaan ini boleh menyebabkan orang ramai mengabaikan maklumat penting dan tidak mematuhi garis panduan dan arahan, yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan awam semasa peristiwa seperti yang berlaku ketika krisis Covid-19. Akibat percaya kepada teori konspirasi, ada sebahagian rakyat Malaysia tidak mahu mengambil suntikan vaksin.

Golongan ini mengabaikan peranan kementerian kesihatan dalam usaha menangani kes Covid-19 dan mengabaikan peranan institusi agama dalam memberi fatwa tentang vaksin.

2. Penyebaran maklumat yang tidak tepat dan berita palsu - Teori konspirasi datang dari sumber tidak sahih, tidak mempunyai bukti kukuh dan sering kontradik dengan naratif rasmi. Oleh itu, maklumat yang disebarkan adalah maklumat yang kabur kebenarannya. Apabila orang ramai berkongsi dan percaya teori konspirasi ini, ia menyumbang kepada penyebaran maklumat palsu. Penularan maklumat palsu itu boleh menyebabkan kesukaran memberi maklumat yang tepat dari sumber yang sahih dan diyakini oleh orang ramai.

3. Polarisasi dan pemisahan dalam masyarakat - Teori konspirasi boleh mewujudkan perpecahan dalam masyarakat, kerana orang yang percaya kepada teori yang berbeza mungkin melihat satu sama lain sebagai musuh. Polarisasi ini boleh menyebabkan permusuhan, gangguan komunikasi, dan menghalang kerjasama dalam isu penting.

Semasa pandemik Covid-19 lalu, bila kerajaan mewajibkan vaksinasi, golongan yang tidak mengambil vaksin, sukar untuk pergi bekerja, mereka terpaksa menjalani ujian calit Covid-19 secara mingguan, tidak boleh makan di restoran, tidak boleh memasuki pusat beli-belah dan banyak batasan yang terpaksa mereka hadapi. Terdapat juga dalam kalangan anti vaksin yang seakan dipulaukan oleh masyarakat, sehingga ada di antara mereka yang ingin menyaman kerajaan.

Bila polarisasi dan pemisahan dalam masyarat berlaku, ia boleh membawa kepada isu yang lebih serius iaitu isu kesihatan mental pula seperti kebimbangan, tekanan, atau paranoia.

4. Penolakan terhadap fakta dan bukti saintifik - Bukti saintifik adalah teori sains yang dapat dibuktikan dengan uji kaji dan data. Teori konspirasi sering menolak fakta saintifik yang mempunyai asas yang kukuh. Penolakan bukti saintifik boleh menghalang orang ramai daripada mengambil tindakan berasaskan ilmu sains yang sahih. Ada dalam kalangan anti vaksin dahulu menggunakan alternatif lain contohnya cengkih untuk merawat covid-19, sedangkan rawatan ini tidak dapat dibuktikan lagi secara klinikal. Penolakan terhadap fakta dan bukti saintifik juga adalah manifestasi kepada masyarakat yang kurang pengetahuan ilmu sains.

5. Pengalihan sumber dan penyelesaian masalah yang tidak berkesan - Usaha untuk menentang teori konspirasi, mendedah maklumat palsu dan memulih kepercayaan terhadap institusi-institusi berautoriti boleh mengalihkan sumber yang sepatutnya digunakan untuk menangani cabaran masyarakat yang sebenar.

Contohnya, di saat petugas perubatan bertungkus lumus menangani pandemik Covid-19, kerajaan juga terpaksa berhadapan dengan golongan anti vaksin. Para pembuat polisi terpaksa memikirkan pula apa tindakan yang perlu diambil untuk menghadapi golongan anti vaksin menyebabkan tumpuan kerajaan dalam menyelesai masalah terganggu.

Namun demikan, bukan semua teori konspirasi tidak berasas. Ada banyak teori konspirasi mempunyai naratif yang logik dan munasabah untuk dipercayai walaupun tidak mempunyai bukti kukuh. Banyak contoh yang mana pada peringkat awal naratifnya dikatakan hanya teori konspirasi, tapi akhirnya ternyata benar.

Adalah penting untuk menilai teori konspirasi secara kritikal, berasaskan ilmu pengetahuan dan pemikiran yang rasional. Meragui kebenaran sesuatu berita yang diterima adalah wajar, menyelidiki sumbernya adalah satu tindakan yang bijaksana. Bersikap terbuka untuk mengubah perspektif berdasarkan bukti yang boleh dipercayai adalah strategi penting untuk mengelak daripada terjebak dalam perangkap teori konspirasi yang tidak berasas.


SITI ANISAH ATAN ialah pengajar kanan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen