malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zahid ikrar bina semula keyakinan rakyat terhadap Umno
Diterbitkan:  Aug 15, 2023 11:09 AM
Dikemaskini: 3:12 AM
ADS

Di sebalik desakan dan asakan yang semakin lantang mendesak dirinya berundur, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berikrar untuk bergerak ke hadapan dan "melakukan lebih banyak" untuk membantu parti itu mengembalikan semula keyakinan rakyat.

Sambil mengambil maklum, bahawa ini bukan kali pertama seseorang presiden Umno didesak meletak jawatan susulan keputusan pilihan raya yang lesu, katanya tanggungjawab prestasi buruk sepatutnya dipikul bersama oleh kepimpinan Umno.

“Walaupun saya bertanggungjawab ke atas keputusan pilihan raya, seperti yang ditegaskan Johari, ia sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama kepimpinan Umno,” katanya, yang dipetik oleh akhbar The Star, hari ini.

Johari Abdul Ghani

Zahid merujuk kenyataan Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani, yang pada Ahad lalu berkata, semua pemimpin Umno mesti bertanggung jawab terhadap keputusan memalukan parti itu pada enam pilihan raya negeri Sabtu, lalu.

Pilihan raya negeri pada 12 Ogos itu menyaksikan Umno sekadar mampu memenangi hanya 19 kerusi DUN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, dan Kelantan.

Parti itu juga mencatatkan prestasi terburuk apabila gagal merampas atau mengekalkan mana-mana kerusi yang ditandinginya di Terengganu dan Kedah.

Bagaimanapun, ia memperoleh 14 kerusi di Negeri Sembilan dan dua kerusi masing-masing di Pulau Pinang dan Selangor. Di Kelantan, parti itu hanya memenangi kerusi DUN Galas.

Berikutan itu, timbul semula gesaan untuk melakukan reformasi parti, termasuk Zahid bertanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai presiden Umno.

Zahid memberitahu akhbar berbahasa Inggeris itu bahawa dia menyedari desakan sedemikian, dan sebagai tindak balasnya, timbalan perdana menteri itu berjanji untuk berusaha ke arah mendapatkan semula keyakinan rakyat dengan bantuan pemimpin Umno yang lain.

"Kita akan meneliti pendekatan dan strategi. Kita akan menerima pakai yang baharu, supaya kami boleh memenangi hati dan fikiran pengundi sekali lagi," katanya dilaporkan.

Menurut Zahid, parti itu perlu menangani kekeliruan dalam kalangan ahli Umno berhubung keputusannya untuk bekerjasama dengan DAP.

Walaupun usaha telah dibuat sebelum pilihan raya negeri untuk menjelaskan perkara itu, dia percaya lebih banyak perkara perlu dilakukan.

"Kami melakukan beberapa sesi untuk menjelaskan perkara ini di peringkat bahagian. Mungkin, mesej itu tidak sampai ke akar umbi atau mungkin perlu dijelaskan lagi di peringkat itu."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen