malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Umno kini boleh jadi 'king maker' - PAS Pahang
Diterbitkan:  Aug 15, 2023 8:59 AM
Dikemaskini: 1:40 AM
ADS

Peluang untuk memposisikan semula kuasa Melayu-Islam di negara ini terbuka luas berdasarkan keputusan pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu. 

Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, pengundi Melayu dan sebahagian pengundi bukan Melayu memberi isyarat jelas penolakan terhadap kerajaan Persekutuan ketika ini. 

"Umno kini boleh menjadi 'king maker' menentukan kedudukan kuasa Melayu atau sebaliknya. 

"PAS Pahang menyeru pimpinan Umno di negeri yang mampu memposisikan kuasa dan kedaulatan Melayu-Islam menyambut gelombang dan isyarat rakyat ini. 

"Suara akar umbi Umno yang menyeru agar parti itu kembali ke landasan asal perjuangan Melayu jelas kelihatan hasil keputusan PRN. 

"PAS Pahang mengharapkan penyatuan ummah ditegakkan demi kestabilan negeri dan negara," katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, malam tadi. 

Rosli turut memberi contoh situasi di Negeri Sembilan selepas PRN Sabtu lalu. 

Katanya, jumlah kerusi dewan undangan negeri (DUN) dimenangi gabungan Pakatan Harapan - Barisan Nasional (PH-BN) dan Perikatan Nasional (PN) hampir sama dengan situasi di Pahang selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15). 

"Kedudukan kerusi di Negeri Sembilan mempunyai persamaan dengan komposisi di Pahang, kedua negeri boleh memposisikan kuasa Melayu-Islam. 

"Kedudukan sama juga boleh dilakukan di Pahang, malah di peringkat nasional jika diterjemahkan kesungguhan itu," katanya lagi. 

Pada PRN Sabtu lalu, PN Negeri Sembilan memenangi lima kerusi DUN iaitu Gemas, Serting, Labu, Bagan Pinang dan Paroi.

Gabungan PH-BN pula memperoleh 31 kerusi melalui BN (14), DAP (11), PKR (lima) dan Amanah satu kerusi (DUN Klawang). 

Manakala keputusan PRU15 di Pahang menyaksikan Umno mendapat 18 kerusi, PN memperoleh 17 kerusi DUN dan PH lapan. 

Kerajaan Pahang hanya dapat ditubuhkan selepas PH mengumumkan menyokong Umno bagi membentuk Kerajaan Perpaduan seperti di peringkat Pusat. 

Sementara itu, Rosli yang juga ahli dewan undangan negeri (Adun) Tanjung Lumpur berharap pimpinan PN peringkat Pusat dan negeri boleh melihat isu itu dengan tuntas demi kebaikan masa depan ummah dan negara. 

"Pemimpin sewajarnya menyambut dengan hati terbuka dan merealisasikan impian rakyat. 

"PAS Pahang sedia menghulurkan tangan perpaduan dan penyatuan demi menyambut impian dan keinginan rakyat," ujarnya. 

Rosli bagaimanapun mengakui usaha itu sukar untuk dilaksanakan, namun pemimpin perlu berkorban demi kesejahteraan rakyat, negeri dan negara. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen