P Ramasamy terus dikecam selepas keluar parti dan kritikannya terhadap "maharaja" dalam DAP.
Kecaman terbaru datang dari bekas Adun Perai dan ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP, Kasthuri Patto.
Dalam kenyataan medianya petang ini, Kasthuri mengimbas dua penggal sebagai ahli parlimen Batu Kawan, dengan Ramasamy sebagai salah seorang Adun di kawasannya.
“Saya terpaksa menanggung nasib malang kerana mempunyai Ramasamy sebagai Adun saya dan ahli majlis yang mementingkan diri sendiri Satees Muniandy dan David Marshel.
“Dari luar, Ramasamy adalah seorang yang suka bergaduh dengan semua orang dan menepuk dadanya sebagai pemimpin yang lantang tetapi Ramasamy yang saya kenali adalah seorang yang manipulatif, merendahkan wanita dan tidak sopan.
“Ramasamy pernah menjadi pensabototaj hebat terhadap saya dan pasukan saya yang bekerja di Perai di bawah Batu Kawan, tetapi di luar, dia menonjolkan dirinya sebagai penyelamat masyarakat India dan penaung hak India di Malaysia,” dakwanya.
Kasthuri juga menuduh bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu "menyalahgunakan kuasa dan keistimewaannya untuk menjadikan kehidupan sesedih mungkin bagi mereka yang kelihatan sehaluan dengan saya atau ahli parti yang berkecuali, dan terutamanya pemimpin akar umbi."
Kasthuri berkata Ramasamy sepatutnya bersyukur kerana DAP telah menerima permohonannya untuk menyertai parti itu pada 2005 ketika dia tidak dikenali dalam politik dan seterusnya meletakkannya sebagai calon tiga tahun kemudian.
Kasthuri berkata, ahli akademik yang bertukar menjadi ahli politik itu menang kerana gelombang Hindraf dan kemudiannya dilantik sebagai timbalan menteri besar II.
“Selama 15 tahun, dia menikmati kuasa, keistimewaan dan faedah yang datang dengan jawatan itu dan paling penting kerana DAP.
“Dia dan anak buahnya mengganggu dan menyeksa saya dan hampir menghalang sebarang cara untuk saya mendapatkan maklumat mengenai perkembangan yang sedang berlaku di Perai.
“Ramasamy, anda tidak berterima kasih kepada pihak yang memberi anda platform untuk mencipta nama, kemasyhuran dan reputasi ini sebagai pejuang untuk kaum India, apabila anda dan anak-anak buah anda mengorbankan saya, seorang wanita India di kawasan saya sendiri. .
“Berhenti memutarkan cerita bahawa anda telah diketepikan dan mendakwa menjadi mangsa sekarang. Tiada mangsa di sini – terutamanya anda, Ramasamy,” tambahnya.
Kasthuri turut mengkritik Ramasamy kerana menyerang Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dua hari sebelum pilihan raya negeri (PRN).
“Ini menunjukkan anda seorang ahli politik yang licik yang meletakkan egonya melebihi rakyat, persahabatan dan negara. Ini adalah pengajaran terakhir untuk anda, Ramasamy, bahawa rasa bangga datang sebelum kejatuhan dan anda telah menggigit tangan yang memberi anda makan,” tambahnya.
'Guna orang India untuk menjatuhkan orang India lain'
Dalam respons segera kepada Malaysiakini, Ramasamy menyifatkan Kasthuri sebagai "pembodek" yang bertindak atas arahan orang lain.
“Bekas ahli parlimen Batu Kawan itu berhak beri pendapatnya. Jelas sekali dia telah dilatih untuk menulis ini tentang saya. Dan sudah tentu, dengan jangkaan diberi ganjaran. Syabas,” katanya.
Ramasamy juga menyifatkan serangan ke atasnya sebagai menggunakan seorang India yang tidak cekap untuk menjatuhkan atau memburukkan orang India lain.
"Kasthuri boleh menulis apa sahaja yang dia mahu, tetapi hakikatnya dia adalah salah seorang ahli parlimen paling teruk dalam sejarah DAP," katanya.
Ramasamy juga berkata tiada penghormatan atau kemasyhuran yang diperolehinya dengan menyertai DAP.
“Saya adalah seorang profesor sains politik dan perunding keamanan antarabangsa sebelum saya diminta menyertai DAP. Jawatan timbalan ketua menteri II diwujudkan khas untuk saya memandangkan kedudukan saya dalam masyarakat.
“Tidak perlu menyertai DAP untuk menaikkan nama. Saya terpaksa meletakkan jawatan di Singapura untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya umum (PRU) 2008. Sebelum saya meninggalkan Singapura, saya juga menolak tawaran balas. Dia (Kasthuri) jelas sekali buta dengan fakta ini,” tambahnya.
Menurut Ramasamy, DAP mengetahui kedudukannya dalam masyarakat India dan berharap dapat memanfaatkannya berikutan gerakan Hindraf.
“DAP mahu saya sama seperti saya mahu menyertai parti itu. Saya tidak menyesal menyertai parti, ia adalah faedah untuk kedua-dua pihak,” tambahnya.
Ramasamy juga mengkritik prestasi Kasthuri sebagai ahli parlimen, dengan mendakwa pengundi kawasannya akan membuktikan perkara itu.
“Anda tidak perlu bertanya kepada saya, tanya pengundinya, mereka akan memberitahu anda kisah bagaimana dia mengabaikan kawasan pilihan rayanya selama dua penggal.
“Dia diminta tidak bertanding pada pilihan raya umum (PRU) lalu. Terlalu banyak aduan orang ramai mengenainya. Dia akan kalah jika bertanding dalam PRU lalu.
“Namun, selepas membuat keputusan untuk tidak bertanding, dia menyebarkan cerita dan berita tidak benar bahawa dia terpaksa tidak bertanding kerana gangguan daripada kakitangan saya dan orang lain.
“Secara khusus, dia menyalahkan Satees dan Marshel. Ini adalah alasan Kasthuri untuk menyalahkan orang lain atas kegagalannya melaksanakan tugas sebagai ahli parlimen.
“Sungguh memalukan. Dia tidak mempunyai sesiapa untuk dipersalahkan melainkan dirinya sendiri. Namun, dia mempunyai keberanian untuk mengadu tentang saya, mengatakan bahawa saya menggunakan DAP untuk manfaat peribadi saya,” tambahnya.
Sambil menafikan dakwaan Kasthuri, Ramasamy bertanya: "Manfaat peribadi apa? Adakah saya terlibat dalam pengumpulan kekayaan secara haram? Adakah saya menghadapi pertuduhan mahkamah kerana rasuah atau pengubahan wang haram?
“Itu haknya untuk menjadi hamba kepada pemimpin parti, tetapi jangan mengharapkan kelakuan tidak senonoh seperti itu daripada saya dan orang lain. Tidak ada yang namanya perhambaan buta kepada DAP atau mana-mana parti politik lain. Ini adalah keputusan saya untuk keluar parti, saya sendiri.
“Saya faham sepenuhnya mengapa Kasturi perlu terlibat dalam serangan terhadap saya ini, ini adalah satu-satunya cara dia boleh mempromosi semula dirinya dengan pemimpin parti.
“Dengan melancarkan serangan yang tidak wajar ini terhadap saya, Kasthuri telah menunjukkan semua sifat pembodek. Hebat, teruskan,” tambahnya.

